Jumaat, 29 April 2011

Untuk Kita

Assalamualaikum..

Entri untuk hari ini berkaitan dengan alam perkahwinan. Buat pembaca, aku nak menjelaskan yang aku bukan kemaruk nak kahwin, tapi sebagai persiapan diri untuk melangkah ke gerbang rumahtangga suatu hari nanti.


Apabila sesebuah pasangan yakni lelaki dan wanita melangkah ke gerbang perkahwinan, sudah pastinya mereka mendambakan kebahagiaan di masa depan, kerana CINTA dan KASIH yang berpadu merupakan satu ikatan yang suci, tapi ingat "Cabaran dan dugaaan hidup" sedang menanti kita.

Sebaik selesai ijab qabul, bermulalah satu siri lembaran baru dalam hidup. Kita perlu bijak mengurus. Konteks mengurus merupakan skop yang cukup luas. Kita perlu menjaga hati pasangan, tanggungjawab, mertua, ekonomi, pendidikan anak-anak.

Jangan dinafikan semua ini!

Pasangan yang tabah, berwawasan dalam erti kata lain sanggup menghadapi dugaan yang mendatang harus terus menjalani hidup mereka. Jangan pernah mengenal erti putus asa, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".


Di saat itu, kehadiran orang ketiga sebagai penasihat dan pendamai amat diperlukan namun berhati-hatilah mencari penasihat. Kadangkala "Sokong membawa rebah" yang menjerumuskan ke arah kehancuran DALAM RUMAH TANGGA. Oleh itu, pastikan penasihat bukan berciri "Batu Asah" semakin di asah semakin tajam.

Kebahagian sebuah mahligai tidak akan datang bergolek, sebaliknya kebahagiaan itu perlu dicari dan di pupuk...Semuanya terletak kepada ANDA "suami dan isteri sebagai pengemudi bahtera rumahtangga anda.

Setiap pasangan pasti mengimpikan pasangan yang memenuhi naluri dan impian mereka. Aku juga tidak terkecuali dari mendambakan impian seperti itu...


Sebaik sahaja ijab kabul, cincin disarung di jari manis. Mungkin hati kita akan terdetik untuk mengungkapkan " Zauji andai impikan mahligai yang bahagia, semaikanlah keimanan dalam diriku dan anak-anak nanti, bajailah dengan kasih sayang, siramilah dengan kefahaman, belailah dengan tolak ansur, renjiskan sedikit perasaan cemburu kemudian gemburkan dengan warna jenakamu.."

Membentuk sebuah keluarga yang bahagia bukanlah sesuatu yang boleh di ungkapkan hanya dengan kata-kata. "Aku mahu keluarga yang bahagia"..Lafaz kata-kata itu tidak cukup sebaliknya ianya memerlukan kesabaran, usaha dan yang paling utama pengorbanan. Wanita juga adakalanya perlu menunjukkan pendirianmu. Kalau terpaksa berkeras, jadilah seperti sekeras waja kerana waja masih boleh ditempa..jangan jadi sekeras batu kerana batu tidak mudah untuk dibentuk. Ingatlah pepatah ini "LEMBUTNYA WANITA BUKAN UNTUK DIPULAS". Kebanyakan lelaki mendambakan seorang wanita yang "cerdik". Konteks cerdik bukan terletak padah ijazah kelas pertama.. Tetapi cerdik menguruskan hal ehwal rumahtangga. Cerdik buat keputusan, cerdik mendidik anak-anak.

Wanita pula cenderung untuk dambakan lelaki yang "alert". JANGAN SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH'. Lelaki juga perlu cekap menangani masalah.

Khusus buat wanita yang bergelar "Isteri", taatilah suamimu selagi dia tidak menyekutui Allah dan Rasul.. Wahai lelaki yang bergelar Suami. Jadikanlah Cinta dalam rumahtangga sebagai taman-taman syurga dan isteri sebagai sang bidadarimu. Janganlah engkau menyakiti isterimu selagi isterimu tidak menderhaka kepada Allah,Rasul atau derhaka kepadamu.

Ikatan perkahwinan ibarat memintal kain.
Perlukan kesabaran dan pengorbanan dalam
menyulam sebuah hubungan yang
di dasari syariat Islam.
Peringatan, jangan hanya mencari KELEMAHAN pasangan kerana sukar untukmu mencari kesempurnaan.

Sebagai suami, Pimpinlah isteri dan anak-anakmu. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai suami, didiklah isteri dan anak-anakmu, kerana semua itu dibawah pimpinanmu dan di akhirat nanti, engkau akan dipersoal terhadap kepimpinanmu."

Pernikahan ibarat pentas, Pelakonnya adalah sang suami dan isteri. Berganding bahu untuk membina sebuah Keluarga yang Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah.  Jangan jadikan Sikap menunding jari "Suami tunding jari pada isteri atau sebaliknya apabila berlaku kelalaian.

Alam perkahwinan "amat manis" seperti madu seandainya kita bijak mengelola. Namun ia akan menjadi "pahit seperti hempedu" jika pasangan gagal memainkan peranan yang seharusnya di praktikkan. Belajar menunaikan HAK pasangan. HAK isteri dan HAK suami..tapi tunaikanlah HAK tanpa menuntut/membangkit HAK, insyaAllah HAK itu pasti memilih kita sebagai pemilik.

Persengketaan itu tidak dapat dielak, tapi jangan biarkan ianya berlarutan. Ibarat "Gatal apabila digaru, mengakibatkan kudis"..Nampak cacatlah kulit apabila tona sudah tidak sekata.. +_+

"Jangan biarkan pasangan tidur sebelum berdamai, kerana tidur dalam keadaan perasaan TEKANAN tidak baik untuk kesihatan Rohani dan jasmani. Bimbang juga, andai telah ditakdirkan Allah pasangan anda dijemput menghadap Illahi ketika tidur. Tidak sempat memohon maaf mengundang kepada tekanan perasaan yang kritikal dan penyesalan yang tak sudah"

Indahnya sebuah percintaan selepas kahwin.


Mencari Keredhaannya,
Ukhti Miftahul Karmila.

Selasa, 26 April 2011

Bingkisan Pena Buat Dia dan Kami

Assalamua'alaikum..

**********************************************************************************
AMARAN: Entri ini, bersifat romantika bil tikus. Penulis sebenarnya ingin melatih diri agar menjadi zaujah yang solehah suatu hari kelak. Kepada individu-individu yang tidak gemar hasil penulisan ini, diharap tidak memberi komen atau post yang tidak sepatutnya....
**********************************************************************************

Andai dirimu telah ditakdirkan untukku di masa hadapan, bakal Imamku, Ayah kepada anak-anakku. Daku harap intipati ini dijadikan sebagai santapan rohani kelak. Ketahuilah bakal Zauji, didiklah daku dalam memperjuangkan "DEEN" ini, berpaksikan syariat Islam kerana daku juga mengimpikan syahid di jalanNya. Pimpinlah daku mengenal erti sebuah kehidupan sebenar, tarbiyyahlah jiwa ini agar diriku mampu menjadi sayap kiri perjuanganmu.

Izinkan daku coretkan kisah hidup kita sungguhpun ianya belum berlaku. Mudah-mudahan intipati ini menjadi pencetus inspirasi buat kita melayari bahtera rumahtangga kelak.
**********************************************************************************
Gambar kahwin sahabat.....
Di sinilah bermulanya kisah hidup saya. Alkisah.....inilah gambar sahabat saya yang telah membina Masjid pada tahun ini dalam erti kata lain menamatkan zaman bujangnya. Alhamdulillah gembiranya rasa hati apabila melihat seorang lagi sahabat akan menjadi bidadari di taman syurga rumah tangganya..Ucapan buatnya ;
"Barakallahu lakuma wa barakah, alaikuma wa jama'a bainakuma fil khair..." 
Maksudnya... " Semoga Allah memberkatimu ketika senang dan susah dan sentiasa mengumpulkan kamu dalam kebaikan...." Amin...

Doaku agar sahabatku ini bahagia dengan kehidupan barunya, semoga ikatan suci ini kekal dunia dan akhirat serta dikurniakan keluarga yang Sakinah, Mawaddah dan wa Rahmah. Indahnya cinta selepas kahwin.

Firmannya dalam Surah Ar- Rum 30:21 yang berbunyi....
" Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah di ciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamu merasa cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. sungguh pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.."

Sedikit penerangan:

1) Pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri : Min anfusikum azwaajan.
* Dari kata kunci pertama ini kita dapati bahawa Allah menjadikan pernikahan terjadi atas konsep "keserasian Jiwa"

2) Kamu merasa cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Litaskunu ilaiha.
* Perkataan "li" sebagai indinasi perasaan cinta automatik yang dijadikan Allah terhadap individu dengan pasangan yang di nikahinya. Cinta yang terkandung dalam Al-Quran dengan kata "Sakinah"

3) Rasa kasih dan sayang : Mawaddah wa rahmah.
* Mawaddah adalah rasa kasih yang bersifat "ROMANTISME" yang di impikan oleh para wanita dan lelaki. Islam tidak menolak "ROMANTISME" namun ianya perlu berbingkaikan ikatan pernikahan. Pernah dengar kisah Rasulullah SAW minum dari gelas yang sama dengan isterinya? Lihatlah Nabi juga bersifat romantis terhadap isterinya.

Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila seseorang menyatakan "Aku cinta padamu", maka jawablah..........
" Ahabbaka llazi ahbabtaniy lah"... Semoga Allah mencintaimu, yang Dialah membuatkan engkau mencintaiku keranaNya" 
(Riwayat Abu Daud, anNasaai dan Ibnu Hibban dari hadis Anas)

"Rahmah" rasa kasih sayang yang mana dengan rasa sayang ini kita di izinkan oleh Allah untuk sentiasa memberi dengan keikhlasan. Gambaran yang tepat tentang konsep "Rahmah" adalah Cinta keibuan yang tidak pernah kenal erti lelah, memberi dan tidak pernah mengungkit meskipun yang dicintai itu tidak mampu membalas pemberian dalam bentuk yang serupa atau lebih baik, rela berkorban dan sudi memaafkan.
________________________________________________________
Kembali kepada topik utama kita tadi.......
________________________________________________________

"Bisikan seorang sahabat kepadaku "Ukhti bila lagi? Ini pun satu daripada Ibadah..."

"Ehemm, perkara baik sebaiknya disegerakan"

Heeeeee...daku hanya tersenyum malu...

Setahun selepas itu, aku melakukan kerja sambilan sebagai guru ganti di sebuah Taska. Terhibur rasa hati melihat telatah dan ragam anak kecil ini. Masing-masing menunjukkan karekter mereka. Seorang ustazah yang berkhidmat di Taska tersebut dan sememangnya rapat dengan aku menyampaikan perkhabaran yang membuatkan aku terkejut..

"Ukhti, hmm ada seorang Akhi yang mahu menjadikan dirimu sebagai sayap kirinya memperjuangkan syiar Islam."

"Ustazah, hmm..saya tidak mengenalinya tapi saya percaya niat Ustazah baik dan takkan menyerahkan saya kepada pendamping yang tidak beragama. Bukanlah niat di hati untuk memilih tetapi saya memerlukan imam yang mampu membimbing saya. InsyaAllah seandainya Dialah jodoh buat saya, saya Redha"....

Siapakah Dia???

Perkhabaran itu aku sampaikan kepada Ummi tercinta. Rasulullah SAW bersabda:
" Keredhaan Allah terletak pada keredhaan Ibu bapa. Manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa" (At-Tarmizi).

Namun sebelum menyatakan hasrat hati ini, aku hadapi Ummi dengan suasana yang romantis..Hehe, ingat dengan pasangan saja ka boleh romantis? Aku tahu Ummi suka dengan bunga, Maka aku memberinya Bunga.. Ingat!! ini bukan rasuah tau.......

Seisi ta'aruf dilakukan di rumah saya,

Wajah Ummi dan Walid bergurau senda di halaman rumah kami.
Almaklumlah bakal menerima tetamu istimewa...hehe

Ummi dan walid menyambut tetamu dengan penuh ramah meskipun tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Melihat kemesraan Keluarga bakal zauji menyebabkan saya bertambah yakin. Nampaknya keluargaku dan keluarga tidak melihatkan kejanggalan ketika berkomunikasi. Malahan ku lihat,  Ummi seperti dah kenal lama pula dengan keluarga bakal zaujiku. Ta'aruf kami hanya biasa-biasa sahaja. Bertanyakan nama, rutin harian. Bakal ibu mertuaku pun amat mengambil berat.. ^_^

Wajah bakal Zauji...
Hihihihihi...
(Daku ketandusan Idea) ^_^

Malam tuu, daku solat Istikharah..Kadang-kala perasaanku menyatakan "Terima" tapi tak mahu membuat keputusan terburu-buru. Takut seandainya perasaan yang hadir itu bisikan dari syaitan. Doaku.....
"Ya Allah, seandainya dia diciptakan menjadi Milikku, baik untukku, Duniaku, Akhiratku. Maka satukanlah hati kami dalam ikatan pernikahan. Tetapi ya Allah jika seandainya Dia bukan milikku, tidak baik untukku, Duniaku dan Akhiratku.. Maka pisahkanlah kami dari perasaan ini, hubungkanlah kami sebagai Persaudaraan Islam"

ALHAMDULILLAH....
Gambar kahwin kami..hehe, zauji kelihatan kekok
bergambar di atas pelamin....
Akhirnya daku memilihnya untuk menjadi pelengkap hidupku. Pendamping ketika susah dan senang serta menjadi sayap kiri perjuangannya.. ^_^
Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar. Saja suka-suka. Ambil gambar sebagai kenangan bersama keluarga dari kedua belah pihak dan sanak saudara terdekat. Suatu hari nanti, gambar-gambar ini boleh dijadikan kenangan terindah buat kami.
**********************************************************************************

Gambar ini di ambil ketika kami pergi berbulan madu...

Zauji nak bawa daku ke suatu tempat yang sangat istimewa katanya.
menghayati panorama Alam Ciptaan Sang Pencipta.
Ehemmmmmmmm...
Ni kereta baru yang zauji beli. Cantikkan??

Yang ni gambar ketika daku dan zauji melancong. Cantikkan?
Hmm, nama tempat ni "Spring Wonderland"..pelik kn namanya? Nak tahu kenapa nama tempat tu "Spring Wonderland?"
Sebab Background tempat tu "Colourful".. ------> Rekaan semata, tp andai tempat ni wujud mesti menarik. Dengan awannya bentuk "Hati"..Atap rumah yang warna warni..kui3x..



Hah, tengok di tepi tu... ada pokok kacang kan??kn? Macam dalam cerita Jack and the Beanstalk story....


Kami masih Round2 sekitar Spring Wonderland..Time ni zauji angkat aku, selepas tu aku pula angkat zauji..haha, adehhh tiada idea ^^,

Lalalalalalala.....
Duhai insan, carilah kehidupan yang di redhai Allah
yang mampu membawa kita hatta fii Jannah..

Hehehe, Zauji beli basikal baru sebab dia tahu Zaujahnya ini tidak tahu menunggang basikal. Zauji cakap,
nak ajar "Zaujatinya" ini tunggang basikal ketika petang. Sambil-sambil temankan petik bunga..

Huhu, Penat kutip buah strawberry.. Luas juga Ladang strawberry Cameron Highland ni...Siapa nak buah Strawberry?? Sila angkat tangan macam saya  ^^

*********************************************************************************

~ Begitulah asam garam rumah tangga kami...Ceritaku ini ada sedikit sebanyak ku dapati dari karya sahabat. Yang baik itu datang dariNya. Dan yang buruk itu datang dari ke khilafan diri ini sendiri.


Sekian, Yang mencari KeredhaanNya
Ukhti Miftahul Karmila...

Ahad, 24 April 2011

Misteri Penjara Pudu

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ni, Mila nak cerita pasal misteri Penjara Pudu seperti yang di war-warkan dalam cerita Tv dan media-media elektronik kini. Mila setakat nak berkongsi kisah seram. Tapi kisah ni pendek sahaja, harap kawan-kawan semua jangan terlalu taksub pula dengan cerita ni okey..

Sebelum memulakan cerita, Mila nak pesan ni..Kepada individu yang lemah semangat, sakit jantung atau wanita hamil dinasihati supaya tidak membaca entri ini kerana di khuatiri ada yang pengsan pula nanti. Tak pasal-pasal wajah korang terpampang keluar di Harian Metro atau Utusan Malaysia dengan tajuk utama; "WANITA TERBERSALIN SELEPAS MEMBACA KISAH SERAM DALAM BLOG" atau "REMAJA MENGALAMI PITAM LANTAS PENGSAN TIDAK SEDARKAN DIRI".

Kui3x..panjang juga tajuk berita tuu kn?? uhukk..opss..Mood serius..serius..Ingat ni entry seram, sediakan selimut dan tutup mata anda jika anda tidak sanggup untuk meneruskan pembacaan..


MISTERI PENJARA PUDU

Insiden ini pernah berlaku suatu ketika dahulu. Namun kisah ini hanya di sebarkan kepada orang-orang tertentu sahaja..Nak tahu, penjara pudu terdapat banyak kisah misteri yang pelik, terdapat satu kisah berkaitan 'Bilik Terakhir" yang dikatakan cukup misteri dan sehingga sekarang sukar untuk di rungkaikan oleh akal logika. Pelbagai kejadian pelik sejak Penjara Pudu ditutup. Kenapa dinamakan "BILIK TERAKHIR", ini kerana bilik tersebut adalah bilik kediaman terakhir seorang penjenayah yang dikehendaki, si penjenayah tersebut akan menjalani hukuman gantung sampai mati.

Sehari sebelum Banduan itu dijatuhkan hukuman, pesalah itu dikatakan menangis, meratap, meraung, menjerit, cakap sorang-sorang, ketawa dan pelbagai perlakuan pelik akibat menyesali kesalahan yang dia telah lakukan. Banduan tersebut tidak dapat menerima kenyataan kerana keesokan harinya bakal menghadapi maut.

Menurut cerita daripada beberapa orang warden yang pernah berkerja di penjara pudu menyatakan ketika proses "Pengosongan Penjara Pudu" dijalankan..Mereka dapat mendengar sayup2 suara meminta tolong, menangis dan menjerit seolah-olah dalam keadaan yang sangat Dhaif. Tidak kurang juga ada ada dikalangan warden-warden yang pernah bertugas malam bercerita menyatakan mereka melihat kelibat "kambing hitam menembusi dinding Penjara"..

Pelbagai alternatif cuba dilakukan bagi mengelakkan daripada ganguan ini, termasuklah menjemput pawang-pawang dan bomoh terkemuka. Mereka menyatakan suara-suara misteri itu adalah akibat roh-roh yang mati ditali gantung dan rohnya tidak tenteram. Anehnya suara-suara misteri itu hanya kedengaran ketika Malam menjelang.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu malam yakni malam Jumaat. Ketika itu, hujan renyai-renyai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seorang warden telah ditugaskan untuk menjaga Penjara Pudu pada waktu malam. Warden itu berjalan di kawasan sekitar menghampiri "Bilik Terakhir".Tiba-tiba, sekitar jam 12.30malam, warden yang sedang berkawal di situ terdengar seolah-olah tapak kaki berhampiran bilik misteri itu. Ia cuba memberanikan diri melihat apakah benda yang berbunyi itu.

Sedang mengamati kawasan persekitaran, kelihatan seekor kambing hitam sedang bergerak menembusi Bilik Terakhir itu lantas lesap begitu sahaja. Warden itu berasa hairan bagaimana kambing hitam itu boleh berada dikawasan penjara? Kerana perasaan ingin tahu, warden yang bertugas cuba menghampiri Bilik Terakhir itu. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati terdapat satu dinding di dalamnya yang bertukar menjadi pintu gua.

Perasaan gementar + seram mula menyelubungi diri, namun Warden tersebut tetap memberanikan diri memasuki pintu gua misteri itu. Dalam keadaan yang samar-samar sambil meninjau keadaan sekeliling dan meneruskan langkah ke hadapan di dapatinya kambing itu sedang berdiri berhampiran sebuah peti. Apabila warden itu membuka peti itu, alangkah terkejutnya, kerana mendapati peti tersebut mengandungi harta karun di dalamnya. Ia cuba mengambil seberapa banyak harta yang dia termampu namun harta itu tiba-tiba lesap dari pandangan. Menjelmahlah satu lembaga yang amat mengerikan, giginya "RONGAK", Hidungnya tiada.. matanya tersembul keluar, seraya berkata :

"Heyyyyyyyy manusia...Jangan kau sentuh harta itu!! Hartaaaaa ituuuu bukan kauuu yang punyaa" "Tapi AHMAD ALBAB yang punyaaaa"....Yaaa Ahmad Albab yang punyaaaaa" Ha..Ha..Ha..Ha... 



P/S :

Maaflah ya, sebenarnya korang dah terkena.. By the way, i found some good points dalam cerita ini,

1) Perasan tidak? ramai orang melayu suka cerita seram/tahyul/khurafat. Termasuklah aku sendiri. Tidak kiralah dari filem, Drama, atau majalah.

2) Ramai orang lebih tertarik dengan cerita-cerita berunsur mistik jika di bandingkan dengan cerita-cerita berunsur islamik atau motivasi...

3) Ramai juga yang kecewa apabila mendapati ending cerita "hancus" atau tergantung. (Lariiiiikk)...

Hehehe, Sekian..........

Khamis, 21 April 2011

Bingkisan buat bakal Zauji

Assalamualaikum w.b.t

Untuk bakal Zauji...

Tangan ini mula menari2 untuk menulis apa yang telah dikarangkan dalam hati ini. Aku mula tertanya, adakah aku sudah bersedia dalam mencari sebahagian dari diriku yang hilang. Bukanlah niat di hati yang disertai nafsu semata tapi atas perasaan ingin tahu seorang muslimah tentang siapakah gerangannya pendamping hidup nanti. Bukanlah satu kesilapan sekiranya seorang muslimah mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar ungkapan kata-kata yang di anggap sakti "Kau tercipta untukku".

Suatu ketika dulu, aku kurang mengerti tentang hakikat sebenar erti kalimah ini, kerana diri ini diselubungi sifat jahil. Aku inginkan bakal zauji mampu membimbingku menjadi seorang muslimah yang taat kepada Perintah Allah dan rasul di samping menjadi bidadari dunia dan insya-Allah di akhirat sana. Kasih sayang kurniaan Sang Pencipta itu sememangnya amat menakjubkan. Alangkah indahnya jika segala syariat agama menjadi landasan dalam melayari nakhoda rumah tangga.

Kadangkala aku berkhayal buat seketika, bagaimana pertemuan kita nanti? adakah dirimu mampu menerima keadaan diriku seadanya. Aku sedar aku punya terlalu banyak kelemahan. Namun Insya-Allah aku akan cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab agar beban yang zauji tanggung nanti kita galas bersama.

Yang aku harapkan bukanlah "kesempurnaan" kerana aku tahu, kesempurnaan itu tidak mampu untuk kita kecapi. Namun apa yang perlu adalah ikhtiar bukan kebendaan semata. Kadangkala aku khuatir jika aku tidak mampu menongkah arus godaan dunia yang begitu hebat. Aku takut andai aku di uji ketika mencari cintamu. Mungkin saja aku di dekati oleh lelaki di luar sana kerana harta dan perwatakannya.

Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku juga khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadah menyebabkan diriku hanyut dan dicampakkan ke neraka, sedangkan Dirimu berada di singgahsana yakni "Syurga firdausi".. Masya-Allah, pimpinlah tangan ku wahai zauji agar aku juga mampu merasai nikmat menduduki tempat yang indah itu.

Seandainya dirimu ibarat  permata bernilai sedangkan aku hanya sebuah batu keras yang apabila di lontarkan ke laut, hanya berkocak buat seketika kemudian tenggelam di dasar laut.

Andai namamu yang tertulis dalam loh mahfuz untuk diriku, semoga Allah akan terus tanamkan perasaan sayang itu dalam hati kita. Tugas pertamamu, bukan mencari dirimu tapi solehahkan diriku dahulu kerana sukar untuk mencari solehmu sekiranya solehahku tidak setanding dengan kesolehanmu.

Tidak dapat ku nafikan jiwa remaja ku mula meracau mencari cinta. Melihat rakan-rakan sebaya ku masing-masing punya kekasih hati dan ada yang sudah berumah tangga. Namun, kematanganku mengajarku erti sebuah kesabaran.

Hakikatnya bukan harta, rupa atau keturunanmu yang aku pandang, cukuplah agamamu sebagai pengikat kasih kita.

"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama."

"Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal".

Doaku agar diriku terpelihara dan tidak berputus asa dalam setiap detik dan saat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian dari tuntutan agama.

"Wahai saudari seakidahku, carilah lelaki yang mampu menjadi imam untukmu, yang menitiskan air mata melihat kesakitanmu ketika melahirkan zuriatnya, dan lelaki yang membangunkanmu untuk beribadat bersama-sama 2/3 malam".... Amin..

Ahad, 17 April 2011

Apa Terjadi??

Assalamualaikum, rasa seronok pula menulis tinta pena pada blog ni. hehe, sebenarnya semalam nak buat pembaharuan pada blog ni..tp lain yang dirancang lain pula jadinya..Kini, lihatlah hasilnya..kui3x, tak palah..Kita hanya mampu merancang, selebihnya DIA yang menentukan..

Nak mohon pendapat para sahabat. Background ni okey tak? Tahu kenapa saya letak background pasangan islami? sebab........??? hehe, akan di beritahu kemudian. moga ahlak dan peribadi diri ini seperti wajah muslimah itu yang mendambakan kasih sang suami. cewah..ayat power tu..Hmm berkaitan lagu plak, saja letak lagu ni..best jak dengar kn?.. Indah kata-katanya. Semoga kita ambil iktibar dari lagu tersebut.
Pada yang serabut, tengok blog ini. Mohon maaf ya. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.

Sabtu, 16 April 2011

Alhamdulillah

16/04/2011 (00.23pm)

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum sahabat-sahabat. Alhamdulillah, berjaya juga siapkan blog ni..simple kn?? almaklumlah baru belajar. Harap usaha ni tidak terhenti setakat di sini.. mohon tunjuk ajar dari rakan-rakan semua ^^, 

pada sahabat-sahabat, sang penulis mohon maaf andai selepas ini Blog ni dijadikan medan untuk menghamburkan penulisan yang yang bersifat "romantikus biltikus"..

Sang penulis ini masih lagi bertatih dalam agama. Terlalu banyak yang perlu sang penulis pelajari. Ilmu itu luas, masih terlalu banyak ilmu yang ingin dihadami. Andai ada silap atau kesilapan ataupun kesilapan yang memang nampak sesilapnya mohon sahabat-sahabat memperbetulkan.

Apa yang Sang penulis harap agar sang penulis dapat menjiwai watak kehambaan terhadap Maha Pencipta yang senantiasa mencintai umat Muhammad SAW.

Sang Penulis juga sedang berusaha berlagak matang dengan tinta penulisan yang boleh di anggap agak jiwanglah juga. hehe, sehinggakan mampu membuat orang muntah hijau, tapi hakikatnya kepuitisan itu adalah tabir yang mampu menutup sikap Sang Penulis yang masih seperti "Ribena mirena"

Oleh yang demikian, Sang Penulis mohon agar input yang diberikan dapatlah dimanfaatkan. Baik pada diri Sang Penulis, mahupun sahabat-sahabat yang bakal hadir dalam blog Sang Penulis nanti.

Sekian,
Hamba yang mencari Redha-Nya