Ahad, 4 November 2012

Bila Hati Berbicara

Assalamu'alaikum...

10 Hari? Walau tempoh masa ini begitu singkat, setelah pergi mencari ketenangan. Di satu tempat, yang sebenarnya tidak asing bagiku. Tempat, yang pernah mengukir 1001 kenangan suatu ketika dulu. Dunia remaja membuat daku terbuai dengan fatamorgana dunia. Kedatanganku kali ini, hampir sama matlamatnya dengan tahun lalu. Cuma sedikit perbezaan yang tidak tampak. Puas daku berfikir, merenung kembali perkara yang pernah aku lakukan.

Memohon belas  padaMu Ya Rabbi. Tiada daya dan upayaku untuk menjalani ujian ini bersendirian. Daku telah temui jawapan bagi persoalan yang menujah fikiranku selama ini . Daku temui ketenangan yang sebenarnya ku cari selama ini.Dengan istikharah padaMu. Saat seorang sahabat menegur akan tingkahku. Aku mulai sedar, bahawa Engkau mengirimkan seseorang untuk memperingati ku.

di saat berdiri tengah-tengah hiruk pikuk kota, rimbunan masyarakat yang sibuk dengan aktiviti harian. Aku terimbau kembali kenangan lalu. Mengalir airmata ini tanpa dapat ku seka. Terlalu banyak dosa yang aku telah lakukan padaMu Ya Allah. Apakah aku masih mampu menagih kemaafan dan kasih sayang dariMu? Tersedar meskipun agak terlewat. Betapa hinanya aku pada pandanganMu. Namun aku percaya, suratan yang tertulis ada hikmah yang tersembunyi. Kini aku redha pada takdirMu ya Allah. HambaMu serahkan segalanya pada KetentuanMu. Walau pahit, berilah hambaMu sedikit kekuatan untuk menongkah arus dugaan yang mencabar. Berikan HambaMu ini kesabaran dalam menghadapi ujianMu. Berikan hambaMu ini kefasihan untuk hambaMu ini berbicara dan menerangkan perkara yang sebenar kepada keluargaku. Berikan hambaMu ini rasa kesungguhan untuk berubah ke jalan yang engkau redhai. Meski telah tersasar jauh, jangan biarkan hambaMu hanyut menongkah arus masa. Selama ini, HambaMu ini terlalu lagha dengan keindahan dunia semata, Terima kasih kerana menyedarkan hambaMu dari terbuai dalam angan semalam..

Rabu, 24 Oktober 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha



Assalamu'alaikum..

Esok Penentu Segalanya..
Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha buat muslimin dan muslimat sekalian..
Mohon maaf andai terkasar bahasa, tingkah laku yang mengguris perasaan..
Harap tak simpan di dalam hati ya..
Sampai Bertemu lagi...
Andai ada rezeki,
Panjang umur, kita bertemu lagi di lembaran yang lain..

Selamat malam.. ^_^

Rabu, 17 Oktober 2012

Mutiara Qalbu

Tenang menyusur redha,
Pasrah pada ketentuan,
Mengharap petunjuk pada yang esa,
Suluh sinar yang tiap detik di damba,
Andai diri miliki kekuatan,
Menghadapi hikmah sebuah suratan,
Seakan ilusi kalam sastera Ilahi,
Kini celik sesudah lena.
Apakah inikah hakikat sebuah kehidupan??

Dalam meniti relung waktu,
Anjakan usia, memakan diri.
Sekali lagi diri di uji...
Dugaan datang silih berganti,
Ada kala menguji kesabaran hati,
Lemah?? Lalu tersungkur jatuh menyembah bumi....
Mengapa tiada siapa yang mengerti?
Apa perlu menyendiri?
Membaluti kelukaan yang di rencana sendiri..

Kalam illahi syifa sanubari..
Walau tertatih dalam kesamaran,
Hanya tongkat peneman sang hati,
Namun,
Sudah cukup bagi jiwa seorang hamba.
Menakluk hati yang telah lama dalam kegelapan,
Berona kemuliaan,
berbalut maghfirah dan mengharap keredhaan...

Di hujung penantian sebuah perjalanan,
Buruan cinta si daif yang tempang istiqomahnya,
Yang seringkali rapuh dinding sabarnya,
Yang acapkali tercalar kelopaknya sekalipun mekar di ranting mujahadah...
Masih mengharap wangian cinta,
Untuk disisip rapi dalam relung hati,
Agar jiwa hamba senada dengan irama Rabbi..

Sekadar Tinta Pena

Bismillahirahmanirrahim..

Ya Rabb...
Hambamu datang kepadaMu dengan penuh kepasrahan,
Ketika dihadapkan dengan sebuah pilihan yang cukup berat..

Ya Rabbi,
Berikanlah ketetapan hati untuk hambaMu ini,
Hati yang bukan saja menyejukkan dalam pandangan hamba...
Tetapi hati yang engkau lihat sampai menebus relung kalbunya...

Ya izzati,
Allah yang maha berkuasa akan sesuatu,
Maha melihat masa depan,
Maha mengetahui akan sesuatu yang terjadi,
Maha mengetahui keinginan yang terdalam di hati hamba ini...

Ya Allah..
Jika mendambakannya adalah kesalahan..
Dan jika merinduinya adalah kekeliruan...
Hambamu memohon,
Jangan biarkan hati ini terbuai dalam keindahan fatamorgana sementara..

Ya Illahi,
Jika kesempurnaannya bukan untuk hamba..
Bawalah hati ini jauh dari relung hatinya..
Hapuskanlah khayalan keindahan tentangnya..
Dan jangan biarkan hambaMu terlena dalam keindahannya...
Gantikan hamba dengan kesempurnaan yang sebenarnya untuk dia...

Namun,
Jika kesempurnaan hamba adalah bersamanya..
Jika hamba di takdirkan untuk menjadi pelengkap baginya..
Berilah hamba kekuatan untuk menentukan pilihan..
Beri hamba kesabaran dalam menjalani proses menggapainya...
Jika dia yang tertulis untuk hambamu ini..
Jangan biarkan hamba menyerah dan terpuruk dalam belenggu masa lalu.....

Semoga Dia meredhai kami untuk bersatu..
Mengharungi sisa hidup,
Menapak jalan ke arah Mu..
Dan melukis keindahan untuk dunia dan akhirat nanti..

Ya Rabb..
Beri kami kesabaran yang penuh..
Dalam meniti detik-detik waktu yang berjalan...


Khamis, 16 Ogos 2012

Hati Ini Milik-Nya

Ya Illahi,Di kala termenung sendiri...
Hati ini selalu menangis,
Hati ini selalu mengadu pada-Mu,
Ya rabbul izzati,
Maafkan diri ini
kerana seringkali lagha dengan kenikmatan dunia....

Ya Allah,

Inna tawakkaltu alal hayyil ladzi ia yamutu wa ia hawla wala quwwata illa billahil aliyyil adzim...
"Sesungguhnya aku berserah diri kepada yang maha hidup yang takkan pernah mati. Tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha tinggi dan Maha Agung"

Surah Ali-Imran : 8-9

Wahai Tuhan kami, janganlah engkau memesongkan hati-hati kami sesudah engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya engkau yang akan menghimpunkan sekalian manusia,untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya...




Sabtu, 7 April 2012

Luahan Hati Seorang "Suami"

Assalamu'alaikum...

Kehadapan Ustaz yang saya hormati... Saya tidak tahu di mana ingin saya mulakan bicara ini.... tetapi saya harap kisah yang akan saya ceritakan ini mampu menjadi pengajaran kepada individu di luar sana. Saya harap hati saya menjadi lebih tenang dan mungkin dapat meredakan rasa berdosa saya selama ini.

Ustaz, saya merupakan seorang lelaki yang mempunyai memori kehidupan lampau yang cukup menyedihkan. Harap ustaz tidak bosan mendengarnya. Saya merupakan seorang suami kepada seorang isteri yang amat baik dan setia. Namun ustaz, saya tidak pernah menghargai kasih dan sayang yang di curahkan kepada saya kerana pada waktu itu mata hati saya terlalu buta untuk menilai yang mana kaca dan permata.

Ustaz, saya telah berkahwin dengan seorang wanita yang pada asalnya tidak saya cintai. Dia seorang yang sederhana pada segi paras rupanya, seorang yang tidak bergaya tetapi kuat pegangan agamanya, bertudung labuh, sopan santun, baik budi bahasanya. Untuk pengetahuan ustaz, perkahwinan kami ini segala-galanya di atur oleh keluarga dalam keadaan saya masih belum bersedia.

Ustaz, terus terang saya katakan yang saya sudahpun mempunyai teman wanita yang jauh lebih cantik daripada isteri saya dan kami amat mencintai antara satu sama lain. Cuma, saya akui teman wanita saya agak sosial sedikit dan tidak menutup aurat. Ustaz, selepas berkahwin dengan isteri saya hakikatnya jiwa saya kacau dan keliru. Saya marah kepada isteri saya kerana pada anggapan saya dialah penyebab kepada masalah ini sehinggakan saya tidak dapat bersama dengan kekasih saya yang amat saya cintai.

Ustaz sepanjang kehidupan kami selepas bergelar suami isteri, saya selalu sahaja mencari jalan untuk menyakitkan hatinya. Dengan harapan kami akan bercerai setelah dia tidak tahan dengan karenah saya. Namun rupanya Ustaz, isteri saya ini adalah wanita yang penyabar. Pernah saya bertindak untuk tidak pulang ke rumah dengan tujuan agar isteri saya membenci saya tetapi selama mana lambat sekalipun saya balik, dia akan tunggu saya dan bila saya masuk ke dalam rumah. Dia akan datang menyambut saya dengan mesra dan bertanya "Abang dah Makan?".. Nak saya panaskan dan hidangkan makanan?...

Ustaz, pernah suatu hari saya bagi penampar ke mukanya apabila dia bertanya kepada saya.. "Abang dah solat?"...saya tidak pernah tengok abang solat selama kita dah kahwin..Paannggg..!! satu tamparan kuat saya berikan di pipinya. Perasaan Geram, marah dan rasa terhina bercampur egois yang menggila. Berbekas pipinya bercampur darah sedikit di celah bibir. Dia menangis teresak-esak. Saya ingatkan mungkin dia akan membenci saya, tetapi rupanya dia bersabar dan tetap melayan saya sebagai seorang suami.

Ustaz, pernah suatu hari dia ingin bermanja dengan saya dengan membawa sepinggan nasi goreng yang di masaknya khas buat saya. ketika itu saya sedang berbual mesra dengan kekasih saya di dalam handphone. apabila dia ingin menyuapkan nasi ke mulut saya. Saya tolak pinggan itu sehingga jatuh berkecai bersama nasi goreng tersebut. Dengan linangan airmata dia mengutip setiap butir nasi goreng yang berhambur di lantai.

Ustaz, saya semakin bertambah lupa daratan...saya habiskan masa yang ada dengan berhibur dan berhibur dengan kawan-kawan di luar dengan harapan isteri saya akan bertambah sakit hati dan meninggalkan saya. Rupanya dia tetap tabah dan bersabar. Pernah juga saya menendang badannya kerana dia menasihati saya supaya tidak mencari hiburan dengan jalan yang di murkai Allah.

Ustaz, pernah suatu ketika apabila keluarganya datang bertanyakan khabar dia. Namun dia nampak bahagia bersama saya. Tetapi sebenarnya hanya saya seorang sahaja tahu bahawa dia berbohong...

Ustaz, suatu hari saya telah diberikan balasan oleh Allah apabila saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tulang paha saya patahdan sememangnya saya tidak berdaya untuk bangun. Hampir lima bulan saya terbaring dan tidak berdaya. Ketika itulah isteri saya menjaga saya dengan setia. Berak, kencing saya dia yang tadahkan, dia basuhkan tanpa ada rungutan atau perasaan keji mahupun geli. Dialah yang memandikan saya, menggosok badan saya dan memakaikan pakaian untuk saya. Bila saya mengerang sakit kerana kaki saya bengkak di tengah malam, berdenyut-denyut sakitnya. Dialah yang bangun dalam keadaan mengantuk dan memberikan saya ubat penahan sakit sehingga saya berasa lega dan tertidur... Tetapi isteri saya sebenarnya tidak tidur hingga ke pagi. Risau jika saya kesakitan lagi...

Ustaz, Isteri sayalah yang menyuapkan saya makan. Dia sendiri tidak akan makan melainkan setelah melihat saya kenyang, Dia kan membuatkan makanan dan minuman mengikut kehendak dan selera saya. Bila saya kenangkan kembali, sewaktu saya terlantar sakit di hospital hinggalah saya di rawat di rumah tiada sesiapa pun teman yang setia berjoli dengan saya datang menghulurkan bantuan. Apatah lagi kekasih saya. melawat pun tiada. Kekasih saya, apabila mendapat tahu perkhabaran  yang saya terlibat dalam kemalangan dan tidak mampu untuk bangun, dia tidak mahu lagi menghubungi saya malah meminta untuk memutuskan perhubungan. Dengan alasan bahawa saya ini telah "Menjadi suami orang". walhal, selama ini dia teah sedia maklum bahawa saya memang sudah berkahwin. Tapi bukan atas dasar "cinta"... Kalau dulu, dialah yang banyak menghasut saya dan memberi harapan kepada saya untuk membenci isteri saya sendiri. Ketika itu barulah saya sedar betapa besarnya kesilapan dan dosa yang telah saya lakukan. Ustaz, saya kasar dengan isteri saya..saya kejam dan zalim terhadap seorang isteri yang begitu menyanyangi saya. Besarnya dosa saya. Saya amat menyesal....

Ustaz, ketika saya boleh berjalan sedikit demi sedikit dan saya beransur pulih. Isteri saya pula jatuh sakit. Susuk badannya juga semakin kurus, hilang selera makan, terbaring dan tidak bermaya. Kata doktor yang merawatnya, isteri saya jadi begitu kerana terlalu letih dan susah hati.. hati saya sebak kerana saya tahu, sayalah punca segalanya.

Ustaz, kesihatan isteri saya semakin teruk. Mukanya semakin pucat.. tetapi dia tetap mengukirkan senyuman. Saya menangis sepuas-puasnya memohon ampun dan maaf di atas segala kejahatan yang pernah saya lakukan terhadapnya. Namun dia hanya tenang menjawab yang dia telah lama memaafkan saya... "Abang, saya dah lama maafkan abang....Saya sayang abang"...Berderai airmata saya, hancur hati saya. Pilu bercampur sebak yang amat sangat. bertapa menyesalnya saya kerana memperlakukan isteri saya sedemikian rupa.

Ustaz, selepas itu isteri saya di masukkan ke dalam wad kecemasan.. Saya menjaganya setiap hari. Sungguh, dengan memperlakukan sebegini masih belum mampu membayar atas apa yang telah saya lakukan padanya. setiap hari saya menjaga dan kucup dahinya. sambil airmata ini tidak berhenti-henti mengalir.. "Jangan menangis bang...Bukan salah abang...Mungkin saya ini yang tidak pandai mengambil hati abang...".. Berdentum hati ini seolah-olah hati saya di sambar halilintar.... Saya hanya mampu menangis sehinggalah keluarga saya datang melawat terpaksa menenagkan saya. Malah memuji saya dan beranggapan saya suami yang amat menyanyangi isteri.. Ternyata pujian itu umpama sumpahan untuk saya.

Ustaz, isteri saya ada berkata.. dia meminta maaf kerana tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya kerana masanya untuk menhadap Illahi semakin hampir. saya meraung, meraung dan merayu kepadanya agar tidak meninggalkan saya. Tetapi katanya, setiap yang hidup pasti akan merasakan kematian. dia meminta saya menjaga diri baik-baik kerana dia tidak boleh lagi menjaga saya. Ustaz, saya menangis sehingga saya menjadi lemah apabila dia mengucapkan kata-kata terakhir itu.

Ustaz, kirakira jam 3.00 petang, setelah dua minggu berada di hospital. Isteri saya pergi menyahut panggilan illahi dan meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dengan beban dosa dan jutaan kesalan yang menerjah hati ini saya meraung semahu-mahunya. Menyesal di atas kekasaran yang pernah saya lakukan.

Ustaz, jiwa saya tidak tenteram..Apakah Allah akan mengampunkan dosa saya? Apakah kekasaran dan kejahatan serta layanan buruk saya kepada isteri akan di ampunkan Allah? Jiwa saya tersiksa. Mugkin inilah hukuman yang patut saya terima. Masih ternyiang-nyiang di telinga saya pesanan akhir isteri saya 'Abang..jaga diri baik-baik.." jangan lupa tunaikan solat..berbuat baik pada semua. Jika bertemu dengan insan bergelar isteri, jangan berkasar dengannya. dan sayangilah dirinya....

Kisah yang boleh di jadikan pengajaran. Semoga kita sama-sama mengambil iktibar dan teladan dari apa yang di sampaikan..

Khamis, 5 April 2012

Erti Hidup Pada Memberi

Assalamu'alaikum....

Lama tidak update blog ni..kasihan pada blog, kalaulah blog ini boleh berkata-kata mesti tengah meraung sekarang sebab tiada sesiapa pedulikannya selama dekat 4 bulan. kan?kan?. Bukan tidak mahu update, tapi sibuk dengan assignment yang bertingkat-tingkat. Lagipun, tiada idea nak tulis. Catatan hari ini, hanya sekadar tinta pena bukan merujuk kepada orang lain. Apapun, hari-hari yang di lalui. Pastikan anda mengisinya dengan wajah-wajah yang ceria, jangan bermasam muka. Andai dugaan datang menerpa, hadapi semuanya dengan tabah kerana ianya adalah sebahagian dari rencah kehidupan. Selagi bergelar "Insan" kita takkan mampu lari dari Ujian.

Kita hidup, secara amnya adalah satu pelajaran. Dari rahim seorang ibu hinggalah akhir hayat kita, kita sebenarnya belajar dan terus belajar kerana........

"Hidup adalah pelajaran. Belajar bersyukur walaupun rasa tidak cukup. Belajar ikhlas walaupun tidak rela. Belajar taat walaupun berat. Belajar memahami meskipun tidak sehati. Belajar sabar walaupun terbeban. Belajar setia walaupun adakala kita tergoda. Belajar memberi meskipun tidak seberapa. Belajar mengasihani walaupun adakala di sakiti. Belajar memaafkan walaupun adakala kita kecewa. Hingga suatu saat kita tersedar betapa belajar telah meneguhkan hati kita, telah mematangkan fikiran kita serta menguatkan langkah kita, membersihkan hati dan minda kita...."

Bila berbicara tentang hati, terlalu sukar untuk di tafsir, terlalu payah untuk di selami, terlalu berat untuk di fahami...

Kadang-kadang Allah Jarakkan hubungan kita,
kemudian DIA datangkan pula dengan dugaan,
Puas kita menangis,
Mencari mana orang kesayangan kita,
Hakikatnya Allah menghadiahkan kita,
Sebuah Rindu yang berpanjangan...

Pada ku.....
Hakikatnya, Aku tidaklah sekuat yang Dirimu tahu...
Aku juga sama seperti mu,
Kadang kuat terkadang lemah,
Kadang hanyut di bawa gelombang,
Kadang hilang di hembus angin,
Kadang gundah di terpa badai,
Kadang resah di hujani masalah,
Kadang tenggelam di telan lautan,
Kadang takut sentiasa menghantui,
Kadang kecewa selalu memayungi,
Kadang sesal selalu mentertawai,
Kadang sedih setia menemani.......

Sungguh....
Itulah aku,
Kadang terlihat berdiri teguh dan kukuh,
Namun hatiku terkadang rapuh,
Rebah ku sendiri....
Hanya saja aku berusaha,
Untuk menyandarkan seluruh hidup ku pada-Nya.

Ya Allah...
Tuhanku yang maha mengerti,
Berikanlah aku kekuatan,
Menolak bayangan masalah jauh ke dada langit,
Hilang bersama senja yang merah,
Agar aku sentiasa tenang,
Walaupun beribu dugaan mendatang...

Ya Allah...
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu,
Sesungguhnya apa yang telah Engkau Takdirkan,
Adalah yang terbaik untukku,
Sesungguhnya Engkau mengetahui,
Segala yang terbaik untuk hamba-Mu ini...

Ada satu perkara yang ingin di kongsi bersama, mungkin iaNya berguna buat kita. Adakala perubahan yang berlaku terasa memeritkan, namun di penghujungnya pasti ada kemanisannya..Kata-kata ini, seringkali ku baca berulang kali, menarik dan sedikit memberi motivasi pada diri.

"Memulakan langkah memang memeritkan, jatuh dan bangun semula adakala terasa sukar. Kadang-kadang tanpa tangan menghulur bantuan. Terasa diri kembara sendirian. Mengimpikan syurga idaman sedangkan diri tidak tahan pada ujian. Betapa kerdilnya diri ini, pabila menghitung keringat yang gugur. Titisan Airmata kecewa rupanya sedikit cinta dan kasih ini di padu. Mekar pada jambangan setia pada perjuangan yang tiada sudah. Layakkah diri ini mendamba secebis kasih-Mu?"

Teringat pada kata-kata pujangga...

"Orang yang mencintai, akan di cintai dan orang yang di cintai akan paling kerap di uji...."

Dalam melakar sebuah diari,
Pelbagai rencah hidup, aku ceritakan...
Pelbagai luahan hati, aku lontarkan...
Pelbagai permintaan akan aku kemukakan...
Namun aku tahu,
DIA akan sentiasa mendengar....
Sungguhpun aku tidak tahu,
Sejauh mana diari ini dekat dengan-Mu...
Walau aku tidak tahu,
Sejauh mana diri ini baik pada pandangan-Mu..
Namun aku tahu,
Dia tetap setia mendengar,
Episod diari ku kali ini,
Hanya luahan rasa syukur,
Atas nikmat pemberian kepada ku...