Ahad, 6 Oktober 2013

Usah gusar.. "Innallaha ma ana"

Cinta itu adalah kasih sayang. Seperti mana cinta Nabi kita S.A.W kepada umatnya yang tidak pernah padam hatta saat sakaratul maut pun nabi masih mengingati umatnya. Betapa kasihnya Nabi kepada kita. Medium cinta itu juga luas, bukan sekadar cinta antara suami isteri. Tetapi ada cinta yang lebih besar dari itu yakni Cinta kepada Allah yang maha pencipta, Cinta kepada Rasul, Cinta kepada ibu bapa, Cinta kepada sahabat, Cinta kepada saudara-saudara islam yang lainnya.

Cinta sahabat-sahabat Nabi kepada Rasulullah begitu besar nilainya. Tiada tara. Cinta saidina Abu Bakar as-siddiq yang sanggup membiarkan ular mematuk kakinya ketika bersama-sama baginda bersembunyi di gua Thur. Bisa ular yang menjalar dalam tubuh, sanggup ditahan kerana enggan untuk mengejutkan baginda yang tengah tidur di ribaan saidina Abu Bakar sehinggalah Rasulullah sendiri menyedari apabila air mata saidina Abu Bakar menitis terkena wajah rasulullah kerana tidak mampu untuk bertahan dari sakit patukan haiwan berbisa.

Kisah cinta saidina Umar Bin Al-Khattab kepada baginda. Ketika di awal perkhabaran kewafatan nabi, saidina Umar dan para sahabat lain hilang punca. Tidak mampu untuk menerima kenyataan kerana kecintaan yang luar biasa kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sehinggakan Umar menyatakan dia akan memancung sesiapa yang menyatakan baginda telah wafat.

Kisah kaum Muhajirin dan Ansar yang mana golongan ansar sanggup menyumbangkan harta benda dalam menghadapi serangan musuh islam ketika perang badar, uhud dan khandak. Malah ada segelintir yang sanggup menceraikan isterinya untuk golongan muhajirin. Manakala kaum Muhajirin sanggup meninggalkan Mekkah, meninggalkan segala kekayaan yang dimiliki semata-mata ingin mengikut nabi berhijrah ke Madinah demi menegakkan syiar Islam.

Ada apa dengan cinta??

"La yu'minu ahadukum hatta yuhibbu li akhihi ma yuhibbu li nafsihi"

Maksudnya : Tidak beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.

Jangan pernah sempitkan fikiran dengan cinta sesama manusia sahaja. Putus cinta?? Kecewa? Putus Tunang? Sakit Hati??

Siapa kita untuk menidakkan ketentuan-Nya.
Siapa kita untuk meningkah suratan-Nya
Carilah hidupmu, Kerana hidup ini bukan sekadar ruang bagi insan mencari apa saja yang dimahukan.
Tetapi, hidup ini hakikatnya adalah lapangan bagi kita sebagai insan menunaikan maksud asal diciptakan.

Berhenti dari berharap akan sesuatu yang lagha..

Adakala sesuatu yang di impikan tidak selalunya menjadi kenyataan.
Tetapi ingatlah wahai hati, Janji Allah itu pasti.
Kadangkala apa yang tidak diduga selalunya berlaku dengan tiba-tiba.
Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam,
Namun, usah biarkan dirimu ketawa berpanjangan..
Kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selamanya.

Tetaplah tenang dan tabahkan hati,
Ingatlah bahawa badai pasti berlalu,
dan roda itu senantiasa berputar,
Jangan biarkan dirimu suka mengeluh,
Menggerutu atau bahkan mencaci maki akan nasib sendiri.

Jangan berkata 'Allah itu tidak adil', "Aku ingin berbicara kepada-Nya, mengapa nasibku sedemikian rupa"

Dimana keadilan-Nya? justeru, kerana Kasih sayang-Nya kepada hambannya. Allah merencanakan sesuatu yang lebih indah buatmu.

Manusia merancang dengan cita-cita tetapi Allah merancang dengan Cinta-Nya.

Kerana DIA adalah sebaik-baik perancang.


 

Wallahu a'lam...

Khamis, 3 Oktober 2013

Penghujung sebuah cerita

Assalamu'alaikum

Tinta pena..

Di saat orang lain mengukir senyuman. Apa aku perlu untuk cemburu?
Di saat dugaan datang menimpa. Apa aku perlu berkata "Hidup ini tidak adil"?
Peringatan buat diri, kerana fitrah manusia itu sering alpa, lupa dan leka..

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" -Az-Zariyat : 55

Apa aku cemburu ??

"Kenanglah apa yang kita ADA supaya kita tetap bersyukur tetapi jangan di kenang apa yang orang lain ADA kelak kita akan menjadi kufur"

Dan ingatlah juga, tatkala Tuhan-Mu memaklumkan;
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih ( Ibrahim : 7)

Wahai hati,
Selamat berbahagia
Bahagia itu letaknya dihati
Cinta-Nya selamanya dimiliki
Letaknya juga ada didalam hati
Betapa peliknya aku jika berbicara tentang hati
Namun apa yang perlu dimusykilkan
Kerana Allah memberikan cinta yang terlalu agung
Yang didalamnya terkandung hikmah dan cinta
Teruskan langkah, jangan pernah lelah
Hidup ini ada hala tuju yang jauh
Tujuan hidup insani
Terlalu banyak lagi yang perlu dilakukan
Mimpi jangan biar kekal menjadi mimpi
Angan jangan biar jadi tujuan

Biarkan airmata menitis, tegarkan hati. Yakin dengan Allah hingga hujung nyawa.

Dari Abu Al-Darda r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud. Antara doa nabi Daud.

Maksudnya : Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon kasih sayang-Mu dan kasih sayang orang yang mencintai-Mu, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkanku kepada Cinta-Mu. Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan kasih-Mu lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli keluargaku dan dari air yang sejuk"