Ahad, 6 Oktober 2013

Usah gusar.. "Innallaha ma ana"

Cinta itu adalah kasih sayang. Seperti mana cinta Nabi kita S.A.W kepada umatnya yang tidak pernah padam hatta saat sakaratul maut pun nabi masih mengingati umatnya. Betapa kasihnya Nabi kepada kita. Medium cinta itu juga luas, bukan sekadar cinta antara suami isteri. Tetapi ada cinta yang lebih besar dari itu yakni Cinta kepada Allah yang maha pencipta, Cinta kepada Rasul, Cinta kepada ibu bapa, Cinta kepada sahabat, Cinta kepada saudara-saudara islam yang lainnya.

Cinta sahabat-sahabat Nabi kepada Rasulullah begitu besar nilainya. Tiada tara. Cinta saidina Abu Bakar as-siddiq yang sanggup membiarkan ular mematuk kakinya ketika bersama-sama baginda bersembunyi di gua Thur. Bisa ular yang menjalar dalam tubuh, sanggup ditahan kerana enggan untuk mengejutkan baginda yang tengah tidur di ribaan saidina Abu Bakar sehinggalah Rasulullah sendiri menyedari apabila air mata saidina Abu Bakar menitis terkena wajah rasulullah kerana tidak mampu untuk bertahan dari sakit patukan haiwan berbisa.

Kisah cinta saidina Umar Bin Al-Khattab kepada baginda. Ketika di awal perkhabaran kewafatan nabi, saidina Umar dan para sahabat lain hilang punca. Tidak mampu untuk menerima kenyataan kerana kecintaan yang luar biasa kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sehinggakan Umar menyatakan dia akan memancung sesiapa yang menyatakan baginda telah wafat.

Kisah kaum Muhajirin dan Ansar yang mana golongan ansar sanggup menyumbangkan harta benda dalam menghadapi serangan musuh islam ketika perang badar, uhud dan khandak. Malah ada segelintir yang sanggup menceraikan isterinya untuk golongan muhajirin. Manakala kaum Muhajirin sanggup meninggalkan Mekkah, meninggalkan segala kekayaan yang dimiliki semata-mata ingin mengikut nabi berhijrah ke Madinah demi menegakkan syiar Islam.

Ada apa dengan cinta??

"La yu'minu ahadukum hatta yuhibbu li akhihi ma yuhibbu li nafsihi"

Maksudnya : Tidak beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.

Jangan pernah sempitkan fikiran dengan cinta sesama manusia sahaja. Putus cinta?? Kecewa? Putus Tunang? Sakit Hati??

Siapa kita untuk menidakkan ketentuan-Nya.
Siapa kita untuk meningkah suratan-Nya
Carilah hidupmu, Kerana hidup ini bukan sekadar ruang bagi insan mencari apa saja yang dimahukan.
Tetapi, hidup ini hakikatnya adalah lapangan bagi kita sebagai insan menunaikan maksud asal diciptakan.

Berhenti dari berharap akan sesuatu yang lagha..

Adakala sesuatu yang di impikan tidak selalunya menjadi kenyataan.
Tetapi ingatlah wahai hati, Janji Allah itu pasti.
Kadangkala apa yang tidak diduga selalunya berlaku dengan tiba-tiba.
Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam,
Namun, usah biarkan dirimu ketawa berpanjangan..
Kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selamanya.

Tetaplah tenang dan tabahkan hati,
Ingatlah bahawa badai pasti berlalu,
dan roda itu senantiasa berputar,
Jangan biarkan dirimu suka mengeluh,
Menggerutu atau bahkan mencaci maki akan nasib sendiri.

Jangan berkata 'Allah itu tidak adil', "Aku ingin berbicara kepada-Nya, mengapa nasibku sedemikian rupa"

Dimana keadilan-Nya? justeru, kerana Kasih sayang-Nya kepada hambannya. Allah merencanakan sesuatu yang lebih indah buatmu.

Manusia merancang dengan cita-cita tetapi Allah merancang dengan Cinta-Nya.

Kerana DIA adalah sebaik-baik perancang.


 

Wallahu a'lam...

Khamis, 3 Oktober 2013

Penghujung sebuah cerita

Assalamu'alaikum

Tinta pena..

Di saat orang lain mengukir senyuman. Apa aku perlu untuk cemburu?
Di saat dugaan datang menimpa. Apa aku perlu berkata "Hidup ini tidak adil"?
Peringatan buat diri, kerana fitrah manusia itu sering alpa, lupa dan leka..

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" -Az-Zariyat : 55

Apa aku cemburu ??

"Kenanglah apa yang kita ADA supaya kita tetap bersyukur tetapi jangan di kenang apa yang orang lain ADA kelak kita akan menjadi kufur"

Dan ingatlah juga, tatkala Tuhan-Mu memaklumkan;
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih ( Ibrahim : 7)

Wahai hati,
Selamat berbahagia
Bahagia itu letaknya dihati
Cinta-Nya selamanya dimiliki
Letaknya juga ada didalam hati
Betapa peliknya aku jika berbicara tentang hati
Namun apa yang perlu dimusykilkan
Kerana Allah memberikan cinta yang terlalu agung
Yang didalamnya terkandung hikmah dan cinta
Teruskan langkah, jangan pernah lelah
Hidup ini ada hala tuju yang jauh
Tujuan hidup insani
Terlalu banyak lagi yang perlu dilakukan
Mimpi jangan biar kekal menjadi mimpi
Angan jangan biar jadi tujuan

Biarkan airmata menitis, tegarkan hati. Yakin dengan Allah hingga hujung nyawa.

Dari Abu Al-Darda r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud. Antara doa nabi Daud.

Maksudnya : Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon kasih sayang-Mu dan kasih sayang orang yang mencintai-Mu, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkanku kepada Cinta-Mu. Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan kasih-Mu lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli keluargaku dan dari air yang sejuk"

Jumaat, 20 September 2013

Cebisan Kehidupan

Hamparan langit nan membiru, mendamaikan jiwa...Sungguh kuasa Allah yang maha Agung. Menjadikan bumbung dunia yang amat indah. Sebagai khalifah, kita menjalani hidup di dataran dunia yang amat asing. Menjadi yang biasa itu mudah, tetapi terlalu mudah itu mencurigakan. Terpenjara... Aku tidak ingin menjadi sekadar yang biasa. Pilihan demi pilihan yang perlu dilakukan menyebabkan terlalu banyak benda yang perlu aku lepaskan.. Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku menentukan nasibku sendiri. Walau sekecil zarah cuma... Tuntun hamba Ya Allah.. Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Yakin dan percayalah diri.. Biar ia menjadi RAHSIA HATI.

....Biar tersimpan kemas di sudut hati,
Tidak terganggu biar di cabar,
Tenang saja mendamai di situ...

Rahsia hati,
Biar berbagai hadiah memujuk,
Tidak gentar untuk menghadap,
Terus bertahan tanpa berganjak...

Rahsia hati biar satu rahsia,
Terlalu sukar akal meningkah,
Biar serabut godaan mendatang,
Tidak pernah goyah walau di ancam..

Rahsia hati,
Kerana percaya,
Taat itu pilihan,
Ketenangan dijadikan jalan,
Kerana dunia ini bukan tempatmu,
Menanti kekasih hati datang menjemput,
Diammm,
Kerana tidak semua perkara perlu diucap,
Layangkan perkhabaran rindu melalui doa,
Biar terpisah kerana hijab,
Takkan pernah jadi halangan...

Jumaat, 13 September 2013

Coretan kata


" Kesedihan" simpan rapi di sebalik senyuman.
Bukan tidak mahu diceritakan kesedihan..
Cuma..rasa takkan ada yang faham.

".....so scared to lose you when you're not even mine"

........

Usah terlalu digenggam bimbang pecah berderai
Usah juga terlalu gemalai bimbang terlucut tanpa sedari
Jangan keliru antara angan dan impian
Angan hanya mimpi...impian pula bukan sekadar dinanti
Cuma perlu kenal pasti

Jalani hidup dalam kesederhanaan
Ada yang perlu di teliti
Ada yang perlu di fahami
Kerana hidup ini hanya persinggahan

Tatkala tiba di persimpangan.
Dua jalan yang berbeza.
Jika kamu pengemudinya
Pilihlah jalan yang memberi sinar
Bukan angan-angan sementara
Mohon doa kepada-Nya.

Sekilas yang membelit..

Berkat yang perlu di cari
Marah yang perlu disembunyi
Aib yang perlu disimpan
Tawa yang perlu di kawal
Kata-kata yang perlu dipelihara
Sabar yang perlu dipacu
Putus asa yang perlu dihindari
Ilmu yang perlu digali
Ego yang perlu dihenyek
Nafsu yang perlu ditempelak

Jalan kisah sehari-hari
Kadang kala tidak di sedari
Bila dilihat kembali
Malu menguasai
Kerana gagal mengawal diri

Aku sedar lewat ini aku sering terjatuh
Terhampat pada nasib yang belum menyebelahi
Percayalah wahai hati
Ada sinar yang tak pernah sirna
Yakin pada diri
Jaga relung hati
Jangan sampai kufur nikmat

Bujur lalu melintang patah...

~Usaha bangkit..Jangan mudah putus asa ^_^






Rabu, 11 September 2013

Jatuh Bangun

Duhai Tuhanku
Jatuh bangun ku menghamba Mu
Kadang cinta kadang ku melupa
Tegaku menyiksa hidup sendiri.

Duhai Tuhanku
Untuk yang kesekian kali
Ku bersujud meminta kembali
Hati yang dipijar indah cinta-Mu

Tuhan...Aku tanpa Mu
Hidupku menderita
Sunyi hati...Kelam jiwa
Bagai terpenjara.

Tuhan...Biarkan kini
Aku dalam rahmat-Mu
Meski jatuh dan terbangun
Ku tetap bertahan


Sabtu, 7 September 2013

Terpatri di hati

Tiada janji yang terpatri,
Hanya perasaan atau perasan,
Takkan ku biar hati ini menangis sendiri lagi,

...........
Aku izinkan ia gugur,
Gugur biar bersepai,
Andai kau carik,
Andai kau hiris,
Toreh kan saja,
Biar sampai jadi serpihan kaca,
Biar berdarah,
Biar bernanah,
Biar saja parut itu tersimpan menjadi tanda.

Andai rantaian kata itu engkau panah tepat ke hati,
Menembusi ruang qalbu,
Lepaskan saja panahan itu,
Akan ku benam ke dasarnya,
Biar sampai tembus ke belakang,
Biar ku simpan sebagai hadiah.

Terkadang, puisi menghenyak ku,
Menempelak satu dunia,
Salah faham yang tidak terniat,
Biar aku hentikan di sini,
Agar tiada episod duka lagi.

Terduduk, menyandar dahi cecah ke lutut. Sepi tangis dalam diri.

.....Monolog dalam diri......
.
'Kenapa susah hati' ??. Lewat usiaku ini teruji, sehingga kadangkala tersungkur. Baru tahu erti bangkit setelah ditempelak dengan peristiwa semalam.

Ya, kadangkala Takdir ALLAH itu menyakitkan. Tapi biarlah aku ikhlas menerimanya...
" Ikhlas mu itu belum cecah ke hati".
"Errrr"
" Kamu tidak menerima takdir Allah dengan ikhlas. Sebab itu, kamu selalu tidak berpuas hati dengan apa sekalipun"..

..........

Jangan di soal pada meraka yang tidak mengerti. Kerana mereka tidak mengalami.
-Soal hatimu yang menghadapi...

"Berdoa moga diberi keikhlasan pada hati yang berdaki"

Gapai pena dan menulis apa yang ada di benak mu... Tepuk dada, tanya iman.. ^_^



Ahad, 28 Julai 2013

Mendung Kelabu @ Cerah Mentari?

Memungkinkan ungkapan kejujuran diungkap,
Ternyata pahit,
Ia masih dikulum erat,
Bimbang masa membongkar segala,
Dan penjelasan saat itu ternyata sia-sia.
~Namun ketahuilah setiap kekecewaan ada kemenangan yang tertunda.

Kenapa perlu sedih dan takut?
Sedangkan sudah tahu bahawa dia telah mengaturkan sesuatu yang lebih baik.
Bimbang itu ada dalam hati...Tenang itu jua ada dalam hati..
Ia umpama air dan Minyak. Mana mungkin mampu bersatu sebati,
Singkirkan duka, Buang prasangka.
Bumi Allah itu luas, Rezekinya jua maha luas.
Lapangkanlah dadamu, jika bimbang?
Tekap tangan pada dada, pujuk dengan doa.
Bimbang dengan gerakan jasad?
Biar bibir tak bergerak, hati jangan pernah berhenti mengingati.
~Kataku..Kulum_kata..Telan_Bicara....

Sepimu kau bawa kediri,
Rajuk dan terkilan menjadi satu,
Maaf insan bukan berniat,
Tekad telah ku perkukuh,
Ku harap kau jua begitu.

Bukan ku undang sengketa,
Jauh sekali mempersenda,
Jangan dijernih perbezaan dengan amarah,
Ku harap engkau bisa mengerti,
Kerana tahu dan faham itu berbeza.

Kata Pujangga terkadang tidak lara hingga keakhirnya,
Salam Kejauhan Buatmu,
Jua salam pengertian,
Bukan sirih junjung ku tolak ke tepi,
Cuma ku harap prasyaratku kau mengerti,
Bukan lantaran kesempurnaannya diri,
Namun kerana lemahnya diri,
Aku perlu bahu membahu,
Bukan menongkah seorang diri.

Bagaiman ingin akhiri, sesuatu yang pernah ku mulai.
Perasaan atau sekadar perasan?
Terhimpit antara dua ruang,
Di sisih atau tersisih...
Apa aku membelakangi naluri?
Usah di sandar pada sesuatu yang rapuh...Tidak bertunjang.....

Hari-hari ada cerita,
Kini sekadar kisah,
Mungkin saja nanti sekadar al-kisah,
Terbayang-bayang..Teringat-ingat..
Lali atau Tuli?

Cerita itu tidak pernah tamat sebenarnya,
Dari celik jeritan tangis,
Hingga terhenti helaan nafas,
Terpejam rapat tiada terkutik.

Lalu bangkit terlujur sesak,
Cerita lalu jelas di depan mata,
Pabila kisah lalu Terungkit dan terbangkit,
Perit yang menyesakkan.

Termatilah madah kasih pujangga,
Terkontang kanting terabai sepi,
Keadilan tiada terbela,
Dahulunya lemah tak mampu membela,
Kini hanya mampu terdiam sepi.

Kisah ini kisah pasti,
yang bakal dilalui nanti,
Entah bagaimana kisah ini,
Tentu saja aku, kamu dan mereka punya kisah tersendiri.

:::: Hasbunallah Wanikmal Wakil...Nikmal maula wa nikmal Nashir....
~ Cukuplah Allah sebagai penolong...
    Dan sebaik-baik pelindung...
I will never ask Allah why He allows this to happen, I fear that He would ask me the same question.
~Jangan memaksa dirimu jika kamu tidak mampu untuk merubah sesuatu keadaan menjadi seperti yang kamu inginkan....
Sudah...cukup..cukup..sudah menjadikan dirimu sebagai korban demi melihat orang lain bahagia

Dari dua sisi,
Pada relung hati yang kurang mengerti,
Lalu jiwa di injak emosi,

Dalam cerita serampang dua mata,
Lalu di sisi mula tersisih,
Yang dulu jernih,
Kini kocak berkecamuk,
Malam yang dulunya tenang,
Kini mula tegang.
Mengganggu lena dengan dentuman bayangan.

Salah sangka dan prasangka,
Butakah hati?
Tiada tunjang utama,
Meja rundingan terus jadi pegun tiada gunanya,
Permuafakatan dikhianati dalam sorakan.

Buka pekung sengketa dan nista,
Buka lembaran fitnah dengan nyata,
Timur dan barat terus sengketa,
Bayu juga enggan bersatu,
Orang ketiga mengulas bagaikan raja,
Yang tersepit terus terhimpit,
Kata-kata tenggelam dalam rengkungan,
Kebenaran terus menerus di anak tirikan...
Sampai bila??
Hembus nafas, mata terpejam..
~Masih belum berakhir....

Yang di nanti, tidak kunjung tiba,
Yang di sayang sekadar menumpang khabar berita,
Ini bukan kisah pungguk,
Ini kisah insani,
Puas di ungkap..Puas di harap..
Sekadar harapan hingga penghujungnya..
Kunjung tiba entah di mana...

Terkadang yang di kasih mengkhianati,
Terkadang yang di rindu sekadar mampu di nanti,
Di balik tingkap...Di muka pintu...
Namun, Diri ini sedar..
Permata manakan sama dengan kerikil,
Sutera tak sebangsa dengan benang,
Emas tak setara dengan loyang..
~Tahu mana letaknya diri...-undur diri...

:: To be Continue.... ^_^




Selasa, 18 Jun 2013

Alhamdulillah

Assalamu'alaikum...

Gembira tidak terkata. Kebenaran kian terungkap. Cuma perlukan masa untuk singkapi. Alhamdulillah. Allah masih sayang kepadaku. Dibukakan jalan untuk ku menyingkapi kerahsiaan itu. Meski berasa diri sudah cekap dalam permainan. Meskipun diri baru bertatih untuk mengorak langkah awal. Rupanya ada yang lebih cekap dan cepat dalam permainan ini. Kata hati selama ini ada kebenarannya. Meski berkali-kali menyatakan "tidak". Namun, itulah hakikat yang perlu diterima. Wowowowowo..

Tertipu!!!! Padan Muka!! Hehe, yakah?? Lucu pun ada juga..keh2...Selepas ini kena berguru dengan "Master-Ji" dan "side kick" agar diri tidak kalah dalam permainan..Weeeeeee..Lapangnya rasa hati..setelah berbulan2 cuba menafikan gerak hati.. Akhirnya terungkap jua. Terima kasih Ya Allah kerana permudahkan jalan itu...

Genggam bara api biar sampai jadi arang..Genggam arang biar sampai jadi abu..Hehe, entah apa-apa yang dirapuhkan. Ya Allah, beri aku ketenangan dalam menerima hal buruk, Keberanian untuk mengubahnya, dan kebijaksanaan untuk melakukannya..

Hadis riwayat Abu Dawud :

Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Ya Allah, jadikanlah aku redha dengan keputusan-Mu, sehingga aku tidak suka meminta agar dipercepatkan apa yang engkau tunda. Dan minta ditunda apa yang engkau percepatkan.

Senyumlah, meski hati tersakiti. Lindungi kesedihan dengan senyuman, meskipun hati penuh kedukaan. Kerana ketabahan menghadapi dugaan menunjukkan kita mempunyai iman.

Jika hati dilanda sedih, Allah tahu hatimu perit menahan luka. Allah dengar tangisanmu ketika meminta. Namun bukan bermakna Allah tidak memperduli, tetapi Allah merancang sesuatu yang terbaik untuk dirimu..

Kemarahan, kebencian, dendam, dengki, dan tamak adalah racun jiwa. Jika bersarang dihati kita. Bersedialah hidup penuh tekanan, pendek rezeki, banyak penyakit dan mendapat kebencian makhluk Allah. (Kata-kata Prof Dr. Muhaya). Oleh yang demikian, jalani hidup seperti biasa ^_^

Dua ujian yang paling sukar di dalam hidup ini :

1) KESABARAN - untuk menanti waktu yang sesuai
2) KEBERANIAN - untuk menerima apa saja yang bakal dihadapi

Allah menguji keikhlasan kita. Apabila kita bersendirian sekali lagi Allah menguji kematangan kita dengan ditimpakan masalah dan cabaran. Allah menguji kita dengan kesakitan dan kekecewaan. Sesungguhnya Allah menguji kita dengan semua itu bagi menilai sedalam mana keimanan dan keyakinan kita terhadap pentadiran-Nya. Kadang-kala kita mudah merungut, kadang-kala kita mudah mengeluh, kadang-kala kita mudah marah, kadang-kala kita mudah berputus asa, malah kadang kala kita hilang keyakinan kepada-Nya. Namun ingatlah bahawa tatkala sesuatu yang diharapkan tak mampu kita kecapi, sesuatu yang dihajati tak mampu kita miliki, sudah pasti semua itu bukan yang terbaik buat diri. Tika itu DIA sedang merancang untuk memberi yang lebih baik dan lebih sempurna lagi. Bukanlah bermakna DIA tidak mengerti sedih hatimu, kecewa jiwamu, derita dirimu melainkan ingin memberikan yang terbaik buat hambaNya. Mungkin jika ditakdirkan kita dibenarkan memiliki dan mengecapi akan membawa mudharat dan masalah pada hidup kita. Apa itu yang kita mahukan???? Allah kurniakan sesuatu bukan bergantung pada kemahuan kita tetapi dia kurniakan sesuatu agar sesuai dan terbaik untuk kehidupan kita. Hakikatnya kita tidak tahu mudharat atas keinginan kita yang Allah telah halangkan itu di dunia...Cheer up... ^_^

Selasa, 4 Jun 2013

Wahai Pemilik Hati yang Patah

Untuk yang sedang bersedih...

Lakukanlah amalan kerana Allah..Agar peluhmu tidak sia-sia..Jangan kau hentikan amalmu kerana banjir air mata kecewa yang menghalang jalanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah luput hitungnya. DIA akan meninggikan setiap hamba yang jatuh dan bangun menyempurnakan pengabdian Kepada-Nya.

Wahai jiwa yang sedang layu...

Panjangkanlah sujudmu dimalam-malam sunyi, agar kau tahu bahawa keindahan tetap bersemayam dihati orang-orang yang mendapat cinta illahi. Dan menangislah sepuasnya. Ketika itu hanya ada dirimu dan DIA. Adu saja segala keresahanmu. Kerana hanya DIA yang memiliki jawapannya.

Wahai jiwa yang di rundung gelisah...

Jangan pernah engkau berhenti mendengarnya bertutur. Walau ceritanya merobek-robek harapan yang sedang kau tumbuhkan. Kadangkala manusia tidak mengenal dirinya sendiri, bukan?? Dengarlah nasihat orang-orang bijak. Tentang seseorang yang sedang mencari kebahagiannya. Kebahagiaan hanya akan diperoleh dengan pengorbanan.

Untukmu yang sedang terluka...

Jangan pernah kau hentikan lantunan ayat-ayat cinta. Sekalipun suaramu tenggelam tertelan riuhdesakan air mata. Kerana kau takkan tahu siapa yang akan terubat dengan lantunanmu. Maka teruskanlah nyanyian sucimu.

Wahai pemilik hati yang patah...

"Yang engkau sayang selalu sahaja menerbitkan kesedihan hatimu...Percayalah bahawa cinta dapat ditumbuhkan dimana sahaja. Jika hati di umpamakan pintu, adakala kesilapan berlaku tanpa disedari. Kita terketuk pintu yang salah. Namun, InsyaAllah, kau akan menemukan pintumu. Pintalah kepada Dia yang menebarkan cinta.

Sahabatku yang dicintai,

Hidup ini umpama pentas permainan sandiwara. suatu permainan yang memerlukan kita bersungguh-sungguh. Maka tiada guna berlama-lama dalam berduka. Duka yang bertahun hanya akan membuatmu buta akan kebahagian yang disajikan Allah kepadamu. Duka yang engkau genggam akan membawa mu jauh dari erti rasa bersyukur.

-Sumber : akuislam




Rabu, 20 Mac 2013

~Tenang

Assalamu'alaikum...

"Tenang"..


Tidak semua insan mampu merasakan ketenangan yang hakiki...

Ketenangan yang bertandang dalam hati. mampu menyejukkan sebuah naluri dan perasaan yang di landa gundah gulana.

Betapa kita setiap hari, hidup yang tidak pernah sepi dari istilah 'ujian'..

Masalah datang silih berganti, adakala setia menjenguk, mengetuk pintu harian kita.

Pasti akan datang, selagi kita bernafas di Bumi Allah S.W.T. Selagi mana kita bergelar "Hambanya".

Adakala, seperti ingin menangis.. Menangislah jika ia mampu mengurangkan beban yang di tanggung. tetapi, menangislah di hamparan sejadah dan sujud kepadaNya. Dalam ratapan syahdu, memohon magfirahNya dan mohon di beri kekuatan.



"Orang yang paling menderita di dunia ini, adalah orang yang hilang ketenangan jiwanya"..

Beringatlah dalam sebaris kalamNya yang mngusik jiwa...

"Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang." (Ar-Rad: 28)

Meski lukanya terlalu parah, meski diri sudah terlalu lemah. namun, jauh di sudut hati, kekalkan momentum "Jangan sekali-kali mengalah".

Jangan mengalah dalam meminta kepadaNya. Jangan berputus asa dalam doa.



Bukankah ujian itu datang dariNya.

"Orang beriman selalu punya cara tersendiri untuk menjaga hatinya, meskipun ia berlawanan dengan apa yang dia terima dalam kehidupan. Di saat mendapat musibah, air matanya menitis tetapi hatinya terilham untuk meyakini bahawa apa yang Allah berikan padanya pasti yang terbaik untuknya. Fizikalnya mungkin lelah, fikirannya mungin penat, tetapi tidak dengan hatinya yang terus yakin apabila dia di uji oleh Allah. Maka itu tandanya bahawa Allah sangat kasih dan sayang padanya"

~Didik hati dengan dua kalimah hikmah. "Sabar dan syukur"

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah: 153).

"Dan barangsiapa bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah bersyukur untuk dirinya" (Luqman:12).




~ Di dalam bisik mahupun jaga, setia berharap kepadaMu ilahi, kerana hanya denganMu...Aku tenang...

Isnin, 18 Februari 2013

~Diam

Assalamu'alaikum...

Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi komen...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam menegur...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi nasihat...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memprotes...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam satu persetujuan...

Tapi...

Biarlah DIAM kita itu mereka faham ertinya...
Biarlah DIAM kita terkesan maknanya...
Biarlah DIAM kita mereka maklum maksudnya...
Biarlah DIAM kita mereka terima tujuannya...

kerana...

Adakala DIAM kita mungkin disalah tafsir...
Adakala DIAM kita mungkin mengundang syak wasangka...
Adakala DIAM kita mungkin di silap terjemah...
Adakala DIAM kita mungkin tidak membawa apa-apa maksud...

Andai..

Kita merasakan bahawa DIAM itu adalah terbaik...
Mungkin seharusnya kita DIAM...
Namun, seandainya DIAM itu bukanlah sesuatu yang bijak...
Berkatalah sehingga mereka DIAM..