Sabtu, 18 Jun 2011

Anak Soleh & Solehah



Assalamu'alaikum...

Entri kali ini berkaitan dengan anak. Ni entri kedua aku yang berkaitan tentang anak. Suka pula melihat teletah anak-anak menyebabkan aku ingin mencoretkan serba-sedikit cerita berkaitan anak.

Hehe, bila melihat video ini. Hatiku tersentuh, sejuk rasa hati melihat tingkah laku mereka..Inilah harta yang tidak ternilai bagi seorang ibu dan bapa apabila di kurniakan anak-anak yang soleh dan solehah..Semoga suatu hari nanti kita dapat membimbing anak kita menjadi seorang daie,dan daieyah yang diredhai Allah SWT..Amin..Ehem..Sungguh, video ini mencuit hatiku apabila melihat telatah si abang ini mengajar adik perempuannya mengenal huruf al-Quran. Telatah yang comel dalam suasana Islamic. Subhanallah! Seandainya semua anak-anak di dunia ini di beri pendidikan awal sebegini, InsyaAllah anak-anak ini akan menjadi insan yang berguna dan bermanfaat kepada masyarakat suatu hari kelak.

Dari Abu Hurairah r.a. bawaha Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

"Apabila seorang manusia mati, Maka putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, atau anak-anak yang soleh-solehah yang sentiasa berdoa untuknya"

Doa seorang anak kepada ibu bapanya sama ada anak itu soleh/solehah atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Akan tetapi doa bagi seorang anak yang soleh/solehah itu lebih makbul. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w menekankan tentang kelebihan anak soleh dalam hadisnya ini agar ibu bapa dapat mendidik anak-anak mereka dengan sebaik-baiknya sehingga menjadi insan yang beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Hadis Riwayat Ahmad :

"Setiap anak yang di lahirkan berkeadaan fitrah (suci) tetapi ibubapalah yang menentukan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi"


Anak-anak merupakan rezeki kurniaan Allah, lahirnya mereka ibarat kain putih yang suci dan bersih. Maka ibu bapalah yang mencorakkan anak mereka mengikut acuan sendiri.

InsyaAllah sama-samalah kita membentuk anak-anak kita menjadi generasi Al-Quran dan al-Sunnah.

Paling suka Part apabila si abang berkata "Ha"...si adik pula menjawab "Ho"..kemudian si Abang berkata "Ha" untuk memperbetulkan bacaan adiknya..

Tautan kasih antara adik dan abang takkan dapat di pisahkan. Lebih-lebih lagi pada Part apabila si adik mengambil lidi tunjuk abangnya.."Nak tuuuu" kemudian si abang pun bertukar lidi dengan si adik.

Mungkin kita boleh mengambil pengajaran dari kisah ini, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak ketika mereka masih kecil bak kata pepatah "meluntur buluh biar dari rebungnya"..

Dalam (Surah Luqman : 17)

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)"



Semoga kita mengambil intipati ini sebagai satu nasihat berguna buat kita semua dalam menjalani bahtera kehidupan.

Selasa, 7 Jun 2011

Kasihi Ibu bapa Kita

Assalamualaikum..

Entri kali ini berkaitan dengan tanggungjawab anak terhadap ibubapa..

Wahai insan yang bergelar "Anak". Sedarkah kita berapa kali kita telah menyakiti hati kedua ibu bapa kita? pernah tidak tercuit dihati kecil kita walau sedikit pun untuk mengucapkan kata-kata kemaafan? Seringkali kita merungut, bila ibu memasak benda yang sama setiap hari atau masakan tidak sedap, tawar atau masin. Pernahkah kita mengucapkan terima kasih?apa yang kita lakukan hanya merungut dan bermasam muka. Lebih menyedihkan apabila sikap seorang anak yang sanggup meninggikan suara kepada ibu bapanya apabila kehendaknya tidak dapat di turuti..Semoga dosa-dosa itu di ampuni Allah SWT.

Bersyukurlah kita Kepada Allah kerana kita dikurniakan ibu dan bapa di sisi. Adakah kita pernah berfikir tentang perasaan anak-anak yang telah kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya? Sang anak yang telah di buang oleh ibunya kerana malu memiliki anak hasil hubungan luar nikah? Cuba fikir sejenak, insan-insan ini seperti kita, perlukan kasih sayang, bimbingan dan perhatian dari insan yang bergelar ibu dan bapa. Pada anak yang masih memiliki ibu dan bapa, hargailah peluang yang ada. Fikirkan, adakah kita mampu membalas jasa dan pengorbanan mereka? Renung-renungkan.

Mungkin kisah di zaman Rasulullah ini, boleh kita jadikan sebagai satu tauladan dalam kita melayari hidup dan tanggungjawab kita sebagai anak.
Rasulullah SAW sedang bertawaf dan bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai bertawaf, Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu : "Kenapa bahumu itu?" pemuda itu menjawab : Ya Rasulullah, saya dari Yaman dan saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya hanya melepaskan ibu saya ketika membuang hajat, solat atau berehat. Selain itu, saya seringkali mendukungnya di bahu saya. Lalu anak muda itu mengajukan soalan kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah! Apakah saya sudah termasuk dalam golongan yang berbakti kepada orang tua (ibubapa)?"
Rasulullah SAW memeluk anak muda yang itu lalu menyatakan : "Sungguh Allah redha kepadamu, kamu anak soleh yang berbakti. Tetapi ketahuilah, kamu tidak akan mampu cinta dan jasa orang tuamu"
Marilah kita mengambil iktibar dari kisah yang pernah berlaku terhadap hamba Allah yang bernama Al-Qamah. Yang mana ketika hidupnya, dia lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akibatnya, di saat kematiannya datang menjemput, al-Qamah tidak mampu mengucap kalimah syahadah sehinggalah ibunya memaafkan kesalahan al-Qamah. Akhirnya al-Qamah dapa menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenteram.

Adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita? Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang menderhakai kedua ibu bapa kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda :
Ada seorang datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya; Ya Rasulullah,siapakah yang perlu kami utamakan selepas Allah dan RasulNya?Lalu baginda SAW menjawab"Ibumu".Kemudian dia bertanya lagi, "selepas itu?".Baginda SAW menjawab "Ibumu". Orang itu masih tidak berpuas hati, dan mengulang lagi soalannya tadi."Selepas itu??Baginda SAW terus menjawab "Ibumu" kemudian bapamu..
 Tiga kali perkataan "Ibu" di ulang. Kemudian barulah "bapamu"..yang di sebut oleh Rasulullah SAW.

Buat renungan kita bersama....

Bila lapar, yang suapkan kita? -Ibu
Bila kita keseorangan, yang selalu berada di samping kita? -Ibu
Bila waktu kecil, perkataan pertama yang kita belajar adalah menyebut? -Ibu
Bila kita bangun dari tidur, siapa yang kita cari? -Ibu
Bila menangis, orang pertama yang datang mendekati kita? -Ibu
Bila nak bermanja, Siapa yang sudi memberikan belaiannya? -Ibu
Bila kita nak bergurau, Insan yang selalu duduk di sebelah kita? -Ibu

Bila kita rasa sedih, siapa yang mampu memujuk kita? -Ibu
Bila kita nakal, siapa yang selalu memarahi kita? -Ibu
Bila kita merajuk, siapa yang datang memujuk? -Ibu
Bila kita mimpi buruk, siapa yang menenangkan kita? -Ibu
Bila kita nak peluk, siapa yang kita cari? -Ibu
Bila kita sunyi, siapa yang selalu kita ingat? -Ibu
Bila kita jauh, siapa yang selalu kita hubungi? -Ibu

Bila kita rasa seronok, siapa orang pertama yang kita ingin beritahu? -Ibu
Bila kita rasa tidak puas hati, dengan siapa kita selalu mengadu?-Ibu
Bila Rasa takut, siapa yang selalu kita panggil? -Ibu
Bila nak exam, orang yang paling sibuk? -Ibu
Bila kita ada masalah, siapa yang selalu risau? -Ibu
Bila kita nak sambung belajar, jauh dari keluarga, siapa yang rajin nasihat kita? -Ibu
Bila kita teringin nak makan makanan kegemaran kita, siapa yang sudi masak? -Ibu
Bila kita nak kahwin nanti, orag pertama yang akan kita rujuk? -Ibu.

Tapi cuba renungkan,

"Bila kita sudah habis belajar, dan sudah ada kerja nanti. Mampukah kita kirim wang untuk ibu kita? "Tidak banyak pun, lima puluh ringgit pun cukuplah"....berderai airmata jika itulah yang diluahkan oleh ibu atau bapa dan kita mendengarnya.

Fenomena hari ini,

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya?
Berapa ramai pula yang sanggup mencuci muntah ibunya?
Berapa ramai yang sanggup ganti lampin ibunya?
Berapa ramai yang sanggup bersihkan najis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?

Tertarik dengan satu iklan di TV, tapi tidak ingat sudah apa tajuknya. Cerita tu lebih kurang macam ni,

Si ibu mengesat tangannya di apron yang di pakainya lantas menyambut sehelai kertas yang dihulurkan oleh anaknya. Lalu membaca.......

Kos upah bantu Ibu :

1. Tolong jaga adik : RM 4.00
2. Tolong buang sampah : RM 3.00
3. Tolong siram bunga 3x seminggu : RM 3.00
4. Tolong cuci piring : RM 3.00
5. Tolong sapu lantai : RM 3.00
6. Tolong pergi kedai beli barang dapur : RM 3.00
Jumlah : RM 20.00#

Si ibu hanya tersenyum sambil memandang anaknya. Kemudian si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1. Kos mengandungkan mu selama 9 Bulan -PERCUMA
2. Kos Rawatan bersalin di hospital -PERCUMA
3. Kos berjaga malam kerana menjagamu -PERCUMA
4. Kos menyediakan barang keperluan ketika diri mu bayi -PERCUMA
5. Kos memberi pendidikan untukmu -PERCUMA
6. Kos makan, minum, pakaian, keperluanmu -PERCUMA
Jumlah : PERCUMA#

Air mata si anak mula berlinangan setelah membaca helaian kertas yang ditulis oleh si ibu. Lama si anak menatap wajah ibunya, lantas memeluk ibunya. Si ibu membalas pelukan anaknya dan berkata "Ibu sayang kamu"..........


Tautan kasih antara ibu dan anaknya tidak akan pernah terlerai. Ibarat seutas tasbih, ada awalan tetapi tiada akhirannya.

[Pesanan dari seorang Bapa]

Wahai anak yang bapa kasihi, urat-urat bapa sudah tegang, tangan bapa ini sudah kasar, tulang empat kerat ini sudah tidak seteguh dulu. Badan bapa ini tidak lagi sesasa dulu, kudrat bapa sudah tidak sekuat dulu dalam mencari sesuap rezeki buat kita. Besarlah harapan bapa agar anak-anak bapa ini menjadi insan yang soleh dan solehah dan berguna untuk sekalian makhluk di dunia dan ukhrawi.

Anak-anak bapa, jika bapa sudah tiada kelak. Kaulah yang menjadi pemimpin keluarga ini ya Anakku. Pimpinlah keluarga kita ini ke jalan yang diRedhai Allah SWT dan Rasul-Nya. Janganlah engkau membiarkan dirimu menjadi insan yang hina lagi menghinakan. Jauhilah perkara yang zalim dan janganlah kau menzalimi dirimu dan orang lain.

Anakku...
"Biarlah kita menjadi ibarat sepohon pokok kelapa yang menghadap pantai"...


Ibaratkanlah dirimu seperti sepohon kelapa tua. Apabila kelapa tua itu sudah cukup matang pastinya suatu saat ia akan jatuh. Ingatlah anakku, saat kelapa tua itu jatuh, biarlah ia jatuh ke laut lantas hanyut ke tengah samudera..Walaupun dilambung ombok, membelah pantai, dilanda badai dan ribut taufan, jadikanlah dirimu kuat ibarat kelapa tua itu.

Kemudian, pabila kau telah terdampar di tepian pantai sebuah pulau yang asing dan tandus kekeringan. Maka tumbuhlah kau sebagai sepohon kelapa yang subur walaupun hidup dikawasan yang gersang.  Lantas memberi manfaat kepada sekalian alam. Kerana air kelapa boleh di minum untuk menghilangkan dahaga, isi kelapa boleh di makan, batang kelapa boleh di jadikan titi, sabut kelapa boleh dijadikan tali, tempurung kelapa boleh menjadi bahan hiasan, daun pelepah boleh di gunakan untuk membuat lidi, isi kelapa tua boleh dijadikan santan, nira kelapa juga boleh dijadikan sebagai ubat.

Ketahuilah wahai anakku, saatnya akan tiba. Suatu ketika kelak dirimu akan bergelendangan keseorangan di bumi ini tanpa ibu dan ayah. Jadilah insan yang berkepimpinan, jadikanlah Al-Quran dan as-sunnah sebagai panduan hidup. Contohilah kelapa itu tadi. Hidup subur dan memberi manfaat kepada sekalian mahkluk dan alam sekitar. Pohonnya menjadi tempat bernaung burung-burung dan para nelayan.

Semoga kita mengambil iktibar dari semua ini, Muhasabah diri.
Ya ALLAH..Jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang soleh solehah. Orang-orang yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang Engkau berikan . Ya ALLAH berikanlah kami taufik HidayahMu. Hanya kepadaMu jualah tempat kami meminta. Suluhkanlah perjalanan hidup kami dan terangilah hati-hati kami dengan NurMu. Ya Allah, tempatkanlah kami dalam kalangan orang-orang yang mendapat petunjukMu seperti mana Nabi Muhammad SAW, para Anbiya', para Auliya serta solihin. Janganlah Engkau sasarkan hati kami ke jalan orang-orang yang derhaka kepadaMu dan tidak sesat sepertimana Firaun dan Hamman... Amin Ya Rabbal Alamin...

Rabu, 1 Jun 2011

Istiqamah

Assalamualaikum..

Entri pada kali ini berkaitan Istiqamah...

Memetik puisi dari I Luv Islam.Com.

Melangkah itu mudah,
Namun mencari arah itu terkadang payah,
Mencari jalan tu mudah,
Namun memahami destinasi itu yang susah,
Menyusuri susur itu mudah,
Namun menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah,
Dalam semua ini...
Menjaga Istiqamah itu paling susah,
Payah dan lelah,
Namun DIA amat faham,
Bagi hambaNYA,
DIA tidak meminta manusia menjadi yang terbaik,
Hanya perlu melalukan yang terbaik,
Meletakkan sandaran dan keyakinan penuh kepadaNYA,
Lantas nescaya dia akan menguruskan yang selebihnya,
Agar yang terbaik itu menjadi milik manusia,
Moga perjalanan kita sentiasa dalam lindungan dan jagaan Allah SWT...

Aku terpanggil untuk mencatatkan sesuatu dalam blog ini. Mungkin boleh dijadikan sebagai perkongsian bersama. Kadangkala kita ingin tampil untuk menjadi yang terbaik dihadapan sahabat handai, semangat ini wajar dipuji andai nawaitu kita ingin membaiki diri dan bersaing cara sihat. Bukan di dasari sifat riak dan takabbur terhadap sesuatu. Kita senantiasa di uji. Mungkin saja kita di uji di pertengahan destinasi.

Mengapa perlu Istiqamah?

"Istiqamah"  ialah tetap teguh di atas jalan yang betul dan lurus yang membawa kepada keredhaan Allah SWT. Kunci kepada istiqamah ialah hati. Hati adalah paksi dalam tiap tindakan yang kita lakukan. Apabila hati telah beristiqamah kepada Allah dalam erti kata lain kita berasa takut, Cinta, Tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Namun Kita sering tersalah menilai seseorang. Mungkin dahulunya dia jahil tentang agama, maka kita menyisihkannya. Ibarat buah  yang berulat, bila sudah berulat maka kita akan "BUANG" saja kan? Tapi kita kena ingat, buah yang rosak itu tidak semestinya akarnya juga rosak. Akarnya masih elok, dan suatu hari nanti mampu menghasilkan buah-buah yang subur dan sihat belaka. Dan sama juga seperti manusia, walaupun dia jahat, atau jahil tetapi hatinya tetap boleh di pelihara sebab semua ini bermula dai hati. Hati manusia merupakan raja kepada tubuh yang menguasai akal fikiran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya"
Buat renungan bersama, semoga kita sentiasa muhasabah diri..