Selasa, 17 Mei 2011

Besabarlah Demi Mencari Redha-Nya



Kehidupan ini macam satu permainan dalam pelbagai adegan yang serba mencabar dan penuh dugaan/ujian dari Allah. Sesungguhnya segala dugaan itu bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Tahukah kita, apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang-kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan berjiwa kental. Kononnya la,untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, tapi ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir tewas dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya jua kita merasakan tidak mampu menghadapi dugaan itu lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak dapat kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu untuk mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau bertimpa-timpa. Lihatlah betapa kerdil dan lemahnya diri kita, begitu cepat hilang perhitungan sedangkan Allah sedang menduga kita. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini sebenarnya ada dua bentuk iaitu KESUSAHAN dan KESENANGAN. Kedua ujian ini benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa hidup di dunia ini meliputi kemewahan dan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya akan hanyut dengan ujian itu.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, terkadang membuat kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kala seringkali kita mengeluh dengan apa yang telah ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir dan ketentuan yang telah tertulis buat kita. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.

"Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini..."
"Jikalau ini tidak terjadi, sudah tentu aku begitu....."

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita ini sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik buat kita? Tepuk dada tanya Iman..

Hakikatnya kita hanya hamba kerdil yang tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam Ayat-ayatNya.

Jawapan Allah terhadap persoalan yang kadang-kala timbul dalam hidup kita....

"Ya Allah....Kenapa semua ini terjadi padaku??"

Boleh jadi kamu bencikan sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al- Baqarah : 216)

"Ya Allah..kenapa terlalu berat ujian ini?"

"Allah tidak membebani seseorang hambanya itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah : 286)

"Ya Allah...terasa kehidupan ini sudah tidak bermakna lagi bagiku.."

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imraan : 139)

"........ dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada putus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf : 87)

"Ya Allah...bagaimana harus ku hadapi semua ini?"

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Surah Al-Baqarah : 45)

"Ya Allah......kepada siapa harus ku berharap?"

"............. Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung" ( Surah At-Taubah : 129)

"Ya Allah....berimankah aku?"

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) menyatakan : "kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi?". "Dan sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta" (Surah Al-Ankabuut : 2-3)


Pesanan : Renungi dan Redhalah terhadap ketentuan Allah. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Semoga kita menjadi hamba yang Redha dan diredhai-Nya.

Rabu, 4 Mei 2011

Buat Insan Yang Di uji


Ya Allah, Dunia yang Engkau hamparkan ini indah tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku hitung. Tetapi Ya Allah, HambaMu ini sering alpa dan lena dengan buaian mimpi yang tiada kesudahan. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan kadangkala terasa amat memeritkan. Berbekalkan kesabaran dan keimanan hambaMu ini yang terkadang nipis, senipis kulit bawang membuatkan sukar bagi hambaMu untuk menongkah arus cabaran ini Ya Allah. Jika ujian ini yang telah Engkau berikan padaku, Bantulah hambaMu ini Ya Allah agar hambaMu ini tidak tersasar dari jalanMu. Tarbiahlah jiwa ini agar sentiasa syukur dengan ujianMu Ya Allah.

Buat insan-insan yang di uji, bersabarlah wahai sahabat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dngan hambaNya yang bersabar. Percayalah, simpulkan dalam hati bahawa Allah sentiasa mendengar segala tangisan dan kesedihanmu. Ingatlah ujian ini bukanlah satu penyiksaan akan tetapi hakikat bahawa kita adalah insan yang terpilih. Insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya kita sentiasa bersabar dan redha dengan segalanya. Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 214:

" Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada Agama Allah)."

Terimalah takdir yang telah ditetapkan Allah untukmu wahai insan. Terimalah dengan hati yang terbuka, berlapang dadalah kamu dengan segala ketentuanNya kerana pasti ada kemanisan di sebalik kepahitan yang engkau rasai. Wahai insan yang di uji, jangan sesekali kau menyesali atas apa yang menimpa dirimu, jangan sesekali engkau merasa keseorangan apabila dikau di uji. Sesungguhnya Allah senantiasa bersama kita. Setiap derita yang engkau lalui itu sering diiringi rahmat ujianNya, maka bersabarlah dan tabahlah. Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 20 :

" Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu dengan ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya)."

Untuk insan yang diuji, sedang ramai teman-temanmu yang lalai di uji dengan kesenangan dan kekayaan mereka, tetapi engkau diuji dengan derita dan kesengsaraan. Sedarlah engkau adalah insan terpilih, engkaulah yang bertuah dan beruntung, kerana  ujian yang diberikanNya membuatkan Engkau semakin dekat denganNya. Bersyukurlah, bersyukurlah, bersyukurlah wahai insan yang dikasihi Allah.

Insan yang mencari RedhaNya,
Miftahul Karmila.

Ahad, 1 Mei 2011

Selamat Hari Lahir Ibu

1 Mei merupakan tarikh lahir ibuku. Insan yang amat istimewa dalam hidupku. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kesihatan tubuh badan dan kebahagiaan buat insan-insan yang ku cintai. Moga mereka sentiasa dalam InayahMu ya Allah.

Selamat Hari Lahir ku ucapkan buat Ibu yang ku sayangi,



Tiada hadiah istimewa yang mampu anakmu berikan kepada ibu lantaran kekangan situasi yang jauh. Hanya doa yang mampu ku ucapkan kepada ibu yang sangat-sangat ku sayangi. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua-dua insan yang amatku kasihi ini, sebagaimana mereka mengasihi dan menyanyangi daku sewaktu kecilku, ketika keberadaanku di sisi mereka terlalu banyak tingkah laku dan kata-kata yang menghiris hati ibu dan bapaku. Ampunilah hambamu ini Ya Allah.

Terima kasih buat Ibuku yang bernama Dahlia Binti Pantani kerana telah  mendidik, membesarkan dan mengasihi anakmu  ini. Kecintaan seorang ibu yang tidak pernah kenal erti lelah, malah sentiasa memberi dan tidak pernah mengungkit. Jasa ibu, tidak dapat anakmu balas dalam bentuk pemberian yang serupa atau lebih baik dari itu.

Ibu,
Anakmu ingin memohon maaf sekiranya jarang telefon, tiada terlintas untuk melupakan cuma kadangkala sibuk dengan tugasan. Ingatlah ibuku sayang, anakmu sentiasa merinduimu walau dimana berada. Tiada siapa yang mampu meragut tempat ibu disisi anakmu ini. Mila sayang Ibu..Hihi ^^,

Jika di penghujung kata-kata di telefon, ibu selalu mengingatkan yang ibu sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya. Kejarlah ilmu dunia, tapi jangan lupa pada ilmu akhirat. Segala nasihat ibu dan ayah, anakmu ini tidak akan lupa. Walaupun ibuku tidak mempunyai apa-apa pangkat di dunia ni tapi ibulah insan istimewa dihati ini. Anakmu ini amat bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu dan bapa yang cukup mengambil berat, menasihati malah banyak mengajar anaknya mengenali erti hidup yang sebenar.

Dedikasi buat ibu,

Anakmu amat mencintaimu Ibu...

******************************************************************

Ibu..
Engkaulah insan yang memberikan separuh hidupmu..
Memberikan terlalu banyak cinta dan kasih untukku..
Menjadi tempat untukku mengadu..
Memberikan semangat buatku,
Memberikan waktu untukku merasai nikmat kasih sayangmu..
Ibulah wanita yang paling kucintai di dunia ini..

Ibu..
Hanya ibu tempat bermanjaku,
Insan yang mengalirkan air matanya untukku..
Sanggup mempertaruhkan nyawanya untukku..
Memberikan ku peluang melihat dunia ini..

Kadangkala huluran tanganmu menyeka air mataku..
Tatkala daku di rundum sedih,
Pabila daku gembira,
Daku melihat senyuman tidak pernah lekang terukir dibibirmu,

Hanya ibu yang ada dalam hatiku..
Terima kasih kerana telah mendidik anak gadismu ini,
Menjadi seorang manusia,
Ucapan maaf yang tak terhingga buat ibu,
Kerana terlalu banyak membuat ibu terluka,
Dek kata-kata yang lahir dari bibir anakmu ini..

Seandainya daku mampu menggantikan kesedihan ibu dengan tawa..
Pasti Tercalit sedikit kebahagian sungguhpun ia-nya bersifat sementara..

Seandainya daku diberi peluang merasakan perih dan pedih seperti yang ibu rasakan,
Seperti mana yang ibu hadapi ketika melahirkan diri ini,
Terlalu besar nilai pengorbananmu ibu..
Sejuta cintaku,
Sejuta kasihku,
Sejuta perhatianku
Pastinya tidak dapat menandingi segala pengorbananmu..

Ya Allah,
Angkatlah Beban ibuku..
Hanya Engkau yang mampu melakukannya..
Hanya Engkau yang mendengar bisikan nurani ibuku..
Kerana hanya Engkau tempat kami mengadu..

*******************************************************

Duhai ibu tercinta, sekali lagi anakmu memohon kemaafan dan keampunan atas segala kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan selama ini sama ada sedar atau tidak. Ketahuilah ibu,sesungguhnya anakmu ini tidak ingin melukai hatimu, apatah lagi menjadi anak yang derhaka. Semoga Allah melindungi diriku daripada sifat sebegitu..

Sayang Ibu..